Monday, 31 December 2012

'BAPA BINATANG DURJANA' BUANG ANAK MACAM ANAK KUCING.....!!!

Hiasan

Ikuti beberapa peristiwa yang menunjukkan bahawa dalam dunia serba serbi canggih ini masih ada manusia yang seolah-olah hidup tiada tamadun..!!!

BAPA TINGGALKAN 3 ANAK KECIL DI TEPI JALAN SEBELUM MENGHILANGKAN DIRI

KUALA LUMPUR: “Tunggu sini sekejap, abah nak pergi beli rokok.” Itulah alasan diberikan seorang bapa kepada tiga anaknya yang baru berusia sembilan bulan, dua tahun dan lima tahun sebelum menghilangkan diri.

Tindakan tidak berhati perut itu dilakukan tidak sampai dua bulan selepas tiga beradik berkenaan kematian ibu mereka akibat barah, dua tahun lalu.

Lebih tragis, mereka ‘dibuang’ pada waktu malam di tepi jalan berhampiran kaki lima sebuah masjid tanpa dokumen dan wang belanja.

Kejadian yang berlaku terhadap Mira, Mila dan Amin (bukan nama sebenar) adalah contoh semakin ramai lelaki layak dilabel ‘bapa binatang’ kerana tergamak meninggalkan darah daging bagaikan ‘membuang’ kucing di tepi jalan.

“SAYA tak nak ikut kalau ayah datang nak ambil kami. Dia kejam! Kalau benar dia sayang saya dan adik, takkan dia tergamak buang kami di tepi jalan. Lagipun, dia tak pernah cari kami.


'NENEK TINGGAL KAMI DI HOSPITAL'

“KAMI tak pernah kenal ayah, ibu,” kata Muhammad Aiman Abdullah, 7, kini menetap di Kompleks Damai, Sungai Buloh, bersama dua adiknya, Muhammad Abdullah, 4, dan Muhammad Ayip Abdullah, 3.

Aiman hanya mengenali neneknya yang meninggalkan mereka di hospital di Klang, dua tahun lalu.

“Aiman hanya ingat kami tiga beradik ikut nenek pergi hospital. Nenek tak beritahu sakit apa.

“Nenek minta saya dan adik tunggu di ruang pelawat hinggalah kami tertidur. Selepas itu nenek tidak muncul hinggalah seorang mak cik jemput dan hantar kami ke sini,” katanya.

Pengetua kompleks itu, Suhaimi Dzajuli berkata, ketika dihantar pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dua tahun lalu, hanya abang sulung memiliki surat beranak manakala dua lagi tiada dokumen pengenalan diri.

“Saya dimaklumkan, mereka ditemui di sebuah hospital di Klang dalam keadaan tidak terurus dan dokumen sah hanya surat beranak abang yang sulung.

“Maklumat ibu juga tidak lengkap kerana hanya ada nama dan tertera umur ibu berusia 16 tahun ketika melahirkannya. Namun hendak ditanya siapa ibu bapa, mereka masih kecil dan tak mengerti apa- apa,” katanya.


'IBU SAUDARA TAK SANGGUP JAGA....

“SAYA tak sanggup biarkan Syafiq (Rizal Azman Mohd Jerry, 6) jaga adiknya, (Nur Qistina, 2) sendirian ketika saya keluar bekerja,” kata Nur Natisha Mohd Jefri, 18, ibu saudara kepada dua beradik yang hidup terbiar selepas ditinggalkan bapa kandung.

Keadaan semakin rumit apabila nenek kepada dua kanak-kanak itu, Rohani Ali, meninggal dunia tiga bulan lalu akibat asma.

Menurutnya, sebelum ini dua beradik itu dijaga nenek mereka sejak kecil berikutan diabai bapa yang terbabit dengan dadah.

“Bapa mereka tak pernah peduli soal makan minum anak, apatah lagi menjaga mereka. Mereka sebapa tapi berlainan ibu yang masing-masing enggan mengambil tahu anak mereka.

“Ibu Syafiq yang sudah berkeluarga tak pernah bertanya mengenai anaknya, seolah-olah dia benci dengan anak sendiri, manakala ibu Qistina adalah penagih dadah dan pernah meninggalkan anaknya sendirian pada rakan lelaki.

“Disebabkan rakan lelaki berkenaan kenal ibu saya, dia serahkan Qistina apabila melihat dia menangis selepas ditinggalkan ibunya,” katanya.

Natisha berkata, pada mulanya dia meninggalkan dua beradik itu dalam jagaan bapa mereka yang juga abang kandungnya yang tinggal bersama kerana terpaksa bekerja bagi menampung kehidupan keluarga.

Bagaimanapun, pada satu hari abangnya meninggalkan dua beradik itu tanpa pengawasan, menyebabkan dia mengambil keputusan berhenti kerja.

“Pernah sekali mereka ditinggalkan abang tanpa makanan atau dimandikan, menyebabkan kedua-duanya lapar dan menangis.

“Simpati saya menggunung melihat keadaan dua beradik ditinggalkan bapa mereka tanpa memikirkan risiko keselamatan,” katanya.

Bagaimanapun, disebabkan kekangan sumber kewangan membesarkan kanak-kanak berkenaan, dia terpaksa menyerahkan mereka kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.


BUANG MACAM ANAK KUCING

KUALA LUMPUR: Tindakan tidak berperikemanusiaan seorang bapa yang tergamak memperlakukan tiga anaknya seperti anak kucing apabila membuang mereka di tepi jalan dipercayai berpunca daripada kurang didikan agama dan pengaruh dadah.

Kes itu bukan terpencil, malah dikatakan semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini seperti diakui Pertubuhan Kebajikan Rumah Silaturrahim Nurul Qana’ah.

Naib Pengerusi merangkap penyelianya, Zainab Ahmad, 59, berkata, air matanya sudah kering mengenangkan nasib kebanyakan anak yatim dan miskin yang tinggal bersamanya.

Ibu kepada tiga anak ini mengakui, selain dihantar waris atau diambil pihaknya untuk jagaan sehingga berusia 18 tahun, ada juga kes anak kecil yang terpaksa tinggal di rumah kebajikan kerana dibuang atau disisihkan keluarga.

“Setiap kanak-kanak yang berada di rumah kebajikan mempunyai kisah masing-masing, tetapi apa menyedihkan ialah semuanya cerita sedih. Biarpun lali dengan perkara ini, naluri keibuan sering menyebabkan saya menangis setiap kali mengenangkannya.

“Berdasarkan kes anak terbuang, punca kebanyakan daripada mereka diperlakukan sedemikian ialah disebabkan ibu, bapa atau penjaga mereka kurang didikan agama dan menagih dadah,” katanya.

Menurutnya, dalam kes tiga beradik malang itu, dia percaya bapa mereka bertindak demikian kerana tidak sanggup memikul tanggungjawabnya apabila isterinya yang juga ibu kanak-kanak terbabit meninggal dunia.

Justeru, bekas jururawat yang juga bidan bertauliah ini meluahkan rasa kesalnya terhadap kerenah birokrasi pihak tertentu dalam membantu NGO sepertinya yang tidak mempunyai sokongan sumber kewangan kukuh.

Katanya, pihak berwajib perlu membuka mata dan tidak mengambil kesempatan atas keikhlasan golongan sepertinya dalam menubuhkan rumah kebajikan untuk kanak-kanak kurang bernasib baik kerana mereka secara tidak langsung turut membantu kerajaan dalam mengurangkan masalah kejatuhan moral di kalangan remaja khususnya.

“Selain anak yatim dan miskin, pertubuhan kami menjadi rumah perlindungan buat anak terbiar, termasuk mangsa penganiayaan fizikal dan mental oleh ahli keluarga,” katanya sebak.

Menurut Zainab, selain menjadi tempat berteduh dan menumpang kasih kanak-kanak bernasib malang ini, pertubuhannya menekankan aspek pendidikan, termasuk menghantar ke kelas tambahan demi memastikan mereka mendapat bekalan ilmu dunia terbaik untuk masa depan.

Orang ramai yang mahu melihat perjalanan hidup penghuni rumah kebajikannya atau memberi sumbangan boleh datang ke No 34A/34B, Jalan 10, Taman Batu Off Taman Greenwood, Batu Caves, Selangor.

BUDAK BAWAH 10 TAHUN SERING JADI MANGSA....

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak dalam kumpulan umur di bawah 10 tahun dikenal pasti golongan kritikal sering menjadi mangsa pengabaian dan penderaan.

Pengarah Bahagian Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Arfan Sulaiman berkata, ini kerana mereka sasaran mudah dan tidak tahu mengadu mahupun melawan individu dewasa.

Menurutnya, punca timbulnya kes pengabaian mahupun kanak-kanak ditinggalkan oleh keluarga adalah pelbagai, tetapi sebab utama ialah ketidakstabilan institusi kekeluargaan.

“Sebenarnya, ibu bapa kanak-kanak itu tidak bersedia menguruskan rumah tangga, sama ada daripada aspek ekonomi mahupun masalah berkaitan emosi.

“Ibu bapa yang tidak mampu menguruskan keluarga akhirnya gagal memainkan peranan baik selaku penjaga serta pelindung kepada anak mereka,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Arfan berkata, kebanyakan kes diterima dilaporkan orang awam yang menemui kanak-kanak.

“Selepas itu kes akan diteliti dan siasatan dilakukan bagi mengesan waris. Jika tiada waris tampil, baru kita mohon perintah sementara sebagai pelindung dan menempatkan mereka di institusi JKM supaya nasib kanak-kanak ini terbela,” katanya.

Kegagalan institusi keluarga menjadi punca kewujudan kes pengabaian turut disokong Naib Presiden Hal Ehwal Wanita Angkatan Belia Islam Malaysia, Fadhlina Siddiq.

Katanya, bukan saja ibu bapa harus menjadi sasaran utama apabila membabitkan isu pengabaian anak kecil, tetapi keluarga kedua-dua pihak perlu memainkan peranan mereka.

“Undang-undang keluarga syariah sudah cukup adil meletakkan soal nafkah di bahu bapa dan penjagaan pula sebelah ibu. Apabila kedua-duanya gagal, tanggungjawab itu perlu dimainkan oleh keluarga kedua-dua pihak,” katanya.

myMetro 30 Dis 2012

1 comment:

Anonymous said...

gila.. kalo xnak anak tu, anto kat umah teman,,,, meh teman menjaganya... sape yg buat mcm ni, teman anggap sifat dia lebih terok dari binatang....