Wednesday, 7 November 2012

TENGKU MUHAMMAD FAKHRY GAGAL SAMAN RM150 JUTA



KUALA LUMPUR – Adinda Sultan Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra yang memfail saman berjumlah RM150 juta terhadap polis kerana mendakwa ditahan secara salah, Rabu gagal dalam tuntutannya.

Hakim Mahkamah Tinggi Datin Zabariah Mohd Yusof menolak permohonan Tengku Muhammad Fakhry dengan kos RM40,000 di dalam kamar di sini.



Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad memberitahu pemberita bahawa Hakim Zabariah memutuskan demikian dengan alasan bahawa Tengku Muhammad Fakhry tidak pernah dihalang untuk keluar ataupun memasuki Istana Mahkota, Kubang Kerian pada Julai 2009.

Katanya, Hakim Zabariah juga menyatakan bahawa penahanan yang wujud hanyalah terhadap kereta Bentley yang dilaksanakan atas titah Pemangku Sultan (Tengku Muhammad Faris Petra) pada masa itu.

Sepanjang prosiding yang bermula 8 Okt lalu, seramai lima saksi plaintif dan lima saksi defendan, memberi keterangan.

Tengku Muhammad Fakhry memfail saman itu pada 9 Dis tahun lepas dengan menamakan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, Ketua Pengawal Peribadi Sultan Kelantan ASP Noorazman Ismail, Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi dan Polis Diraja Malaysia sebagai defendan. – BERNAMA

No comments: