Wednesday, 31 October 2012

TAUFAN SANDY DAPAT DILIHAT DARI ISS

IMEJ satelit yang dirakamkan kelmarin menunjukkan taufan Sandy di luar pantai timur Amerika Syarikat.

CAPE CANAVERAL, Florida - Taufan Sandy yang membawa kemusnahan besar di pantai timur Amerika Syarikat (AS) dapat dilihat dari angkasa lepas.


Komander Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), Sunita Williams semalam menyatakan dia dan seorang kru lain dapat melihat lingkaran besar Sandy semasa ia mendekati pantai timur itu. Keluarga Sunita tinggal di New England dan dia membuat pemerhatian dengan teliti di wilayah tersebut.
Taufan Sandy itu melanda New York kelmarin sehingga mengakibatkan hampir keseluruhan bandar raya tersebut tenggelam.


KAPAL layar HMS Bounty berketinggian 180 kaki tenggelam di Lautan Atlantik, apabila 'dilanggar' Taufan Sandy.
Seramai 18 orang mati di tujuh buah negeri termasuk Kanada.
Kematian itu akibat dihempap pokok, rumah runtuh, terkena serpihan yang berterbangan dan renjatan elektrik.
Taufan itu tiba di New Jersey malam kelmarin dengan kelajuan angin 130 kilometer sejam.
Lebih enam juta penduduk terputus bekalan elektrik dari Carolina ke Ohio.
Sementara itu, kempen pilihan raya presiden terpaksa ditangguhkan selama seminggu. Pilihan raya itu menyaksikan pertembungan antara calon parti Republikan, Mitt Romney yang juga bekas gabenor Massachusetts dengan Presiden AS, Barack Obama.
Taufan itu juga menyebabkan sistem tren bawah tanah di bandar raya New York mengalami kerosakan teruk dalam tempoh 108 tahun."Ia akan menjadi salah satu rekod," kata Naib Presiden Kanan Consolidated Edison, John Miksad.
Beliau menyatakan, lebih 670,000 pelanggan syarikat itu yang tidak mendapat bekalan elektrik akibat taufan tersebut di bandar raya New York. 

Terkini, sekurang-kurangnya 17 orang dilaporkan terbunuh di tujuh buah negeri apabila Taufan Sandy mengganas, membadai kawasan persisiran pantai timur Amerika Syarikat (AS), awal hari ini menyebabkan lebih sejuta penduduk di beberapa negeri terpaksa dipindahkan.



Route 30, White Horse Pike, berhampiran pantai Absecon yang merupakan salah satu laluan utama ke bandar Atlantic City, New Jersey, dinaiki air akibat Taufan Sandy.

Antara negeri yang mencatat kematian termasuklah New York, New Jersey, Maryland, Pennsylvania, West Virginia dan North Carolina apabila taufan itu melanda AS sejak pukul 8 malam tadi (8 pagi waktu Malaysia hari ini, menjejaskan lebih 50 juta penduduk di wilayah itu.

Kira-kira sejuta penduduk yang terjejas teruk turut dipindahkan.

Taufan gergasi itu membawa kelajuan angin 130 kilometer sejam, melanda kawasan persisiran pantai sejauh beratus-ratus kilometer dengan beberapa negeri dilanda hujan lebat dan bandar-bandar utama lumpuh dengan bandar raya New York paling teruk terjejas.

Presiden Barack Obama mengisytiharkan dekri kecemasan di New York dan New Jersey, selepas taufan tersebut mengakibatkan kira-kira 13,500 penerbangan di seluruh negara dibatalkan semalam dan hari ini.

Bandar raya New York lumpuh apabila sistem pengangkutan kereta api bawah tanah terjejas teruk, terburuk dalam tempoh 108 tahun, sementara kira-kira tujuh juta penduduk di seluruh negara turut mengalami masalah terputus bekalan elektrik.

Satu kebakaran besar di kawasan penempatan di New York City yang banjir, menyebabkan 50 buah rumah musnah, namun hanya dua orang mengalami kecederaan ringan.



Suasana di sekitar pusat bandar Manhattan turut panik apabila banjir setinggi 3.9 meter menenggelamkan terowong-terowong dan stesen kereta api bawah tanah, selain menyebabkan pelancong serta pesakit-pesakit di hospital terpaksa mencari tempat berlindung.

Dalam perkembangan berkaitan taufan gergasi itu, dua buah loji kuasa nuklear masing-masing di New Jersey dan New York ditutup awal hari ini, namun operator loji menyatakan, ia tidak mendatangkan risiko terhadap keselamatan awam.

Pusat Taufan Kebangsaan menyatakan, Sandy yang berubah lemah kini bergerak ke kawasan pedalaman, namun masih mampu menghasilkan angin kencang serta banjir di sepanjang pantai timur.

Sejak membadai Caribbean beberapa hari lalu, taufan tersebut telah mengorbankan sekurang-kurangnya 67 nyawa.

Firma pengurusan bencana, Eqecat meramalkan, Sandy boleh menjejaskan kira-kira satu perlima atau 60 juta penduduk AS dan mengakibatkan kerugian berjumlah AS$20 bilion (RM60 bilion).  AGENSI

No comments: