Friday 7 September 2012

RAJA BAHRAIN CALON PAS PRU 13...........

Raja  Bahrin

Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Tengku Ahmed Shah




















KUALA Terengganu – Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Tengku Ahmed Shah atau lebih dikenal sebagai Raja Bahrin berkemungkinan besar akan dicalonkan bertanding mewakili Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).



Walaupun belum pasti kesahihannya, namun desas-desus bertiup kencang sebelum ini hampir menjawab persoalan itu apabila Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut mengesahkan Raja Bahrin antara nama yang sedang dinilai Pas untuk dicalonkan pada pilihan raya umum akan datang.

Selain Raja Bahrin, penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus turut disebut-sebut sebagai calon, namun beliau memberitahu nama itudi luar penilaian pihaknya selepas difahamkan ikon agama itu tidak berminat menjadi calon.

"Raja Bahrin sedang dinilai, itu saya boleh terima. Nama dia telah dikemukakan kepada saya. Saya tidak boleh nafi, tetapi muktamadnya kita akan tentukan kemudian," katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena Majlis Sambutan Aidilfitri Badan Perhubungan Pas Terengganu di pejabat parti itu di Jalan Sultan Omar, di sini.

Beliau turut memberitahu pihaknya belum membuat sebarang tawaran kepada Raja Bahrin memandangkan tiada keputusan muktamad mengenainya dan arkitek terkenal itu juga tidak pernah menawarkan diri menjadi calon.

Saya akan pertimbang: Raja Bahrin

Sementara itu Raja Bahrin ketika ditemui berkata, akan mempertimbang tawaran sebagai calon sekiranya ditawarkan Pas pada PRU13.

Bercakap kepada media di sini, semalam, Raja Bahrin menyifatkan ia satu penghormatan jika tawaran itu benar-benar berlaku, namun masih awal untuk memberi reaksi mengenai perkara itu.

Enggan mengulas jauh perkara itu, beliau bagaimanapun menganggap ia masih samar-samar walaupun Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut mengesahkan nama beliau kini sedang dinilai sebagai calon bagi mewakili Pas pada PRU13.

"Jadi apa-apa yang berlaku selepas ini (tawaran sebagai calon), saya tidak dapat kata apa-apa sebab tiada perkara yang jelas. Saya tumpukan kerja dalam Amanah dahulu. Kita pun tidak tahu bila pilihan raya," katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Aidilfitri di Pejabat Perhubungan Pas Terengganu, di sini, semalam.

Ditanya sama ada beliau bersedia menggalas tanggungjawab sekiranya dicalonkan kelak, Raja Bahrin menjelaskan bersedia memberi sumbangan dalam apa cara sekalipun.

No comments: