Baitulmaqdis merupakan sebuah kota yang
terletak di dalam wilayah Palestin dan diiktiraf sebagai kota ketiga
paling suci bagi umat Islam selepas Mekah dan Madinah. Dalam kalangan
masyarakat antarabangsa, kota ini lebih dikenali dengan nama Jerusalem
yang bermaksud ‘tempat yang aman untuk didiami’.
Catatan sejarah menunjukkan kota ini
telah diduduki manusia selama sekitar 5,000 tahun sekaligus merupakan
antara kota yang tertua di dunia dan masih dihuni sehingga sekarang.
Kota ini merupakan tempat pertembungan antara tiga agama samawi iaitu
Islam, Yahudi, dan Kristian bahkan setiap agama mempunyai kawasan
masing-masing di sekitar kota lama yang mengelilingi sebuah tanah tinggi
yang terkepung dengan tembok yang tinggi lagi kukuh.
Masyarakat dunia menamakan kawasan
tanah tinggi ini sebagai ‘Mount Temple’ disebabkan sejarahnya yang
pernah menempatkan kuil Yahudi kuno iaitu dipanggil juga sebagai Haikal
Sulaiman sebelum ia dimusnahkan, dibina semula dan sekali lagi
dimusnahkan selepas kota ini dijajah oleh kerajaan-kerajaan yang
berbeza.
Mengikut catatan sejarah, umat Islam
pada era awal Islam dahulu menggelarkan kawasan di mana terletaknya
‘Mount Temple’ sebagai Madinah Baitulmaqdis yang membawa erti ‘City of
the Temple’ yang mengambilkira akan kewujudan Haikal Nabi Sulaiman A.S
yang menjadi tempat ibadat pertama kaum Yahudi sebelum dimusnahkan oleh
orang Babylon pada tahun 586 sebelum Masihi.
Selepas kemusnahan pertama itu, Haikal
ini dibina semula kira-kira selepas 70 tahun kemusnahan pertamanya
apabila orang Babylon berjaya diusir, namun ia diruntuhkan kembali pada
tahun 70 Masihi oleh Empayar Roman. Manakala kawasan kota yang wujud di
sekeliling ‘Mount Temple’ ini dipanggil Iliya, berasal daripada nama
‘Aelia Capitolina’ yang diberikan semasa penjajahan orang Roman. Kawasan
‘Mount Temple’ pada asalnya agak tinggi dengan keadaan yang tidak rata
tetapi pada tahun 19 sebelum Masihi, pemerintah ketika itu iaitu Herod
the Great telah membina tembok tinggi mengelilingi kawasan ini lalu
meratakan permukaannya di dalam kawasan tembok sepertimana keadaan
sekarang.
Selepas pengislaman Kota Baitulmaqdis
yang bermula ketika zaman khalifah Umar al-Khattab, nama ‘Mount Temple’
telah ditukarkan kepada Haram al-Sharif yang menggambarkan kedudukan
kawasan suci ini yang mendapat tempat yang mulia di dalam Islam
sementara kota disekitarnya inilah dinamakan Baitulmaqdis.
Pada Zaman Khalifah Sulaiman iaitu salah
seorang khalifah di dalam era Turki Uthmaniyyah, beliau telah membina
semula dinding seakan-akan sebuah tembok di sekeliling kota
Baitulmaqdis. Sekarang ini Baitulmaqdis yang asal dirujuk sebagai kota
lama Baitulmaqdis iaitu kawasan yang dikepungi tembok tadi. Di kota
inilah terletaknya Masjid al-Aqsa yang telah disebut di dalam kitab suci
al-Quran dan al-Hadis yang mana beribadat di dalamnya mendapat seribu
ganda pahala berbanding di tempat-tempat lain.
Masjid al-Aqsa di dalam bahasa Arab
bermaksud ‘masjid yang jauh’, merujuk pada jaraknya yang berjauhan
daripada bumi Mekah yang menempatkan Masjid al-Haram. Di sini juga
menjadi tapak kepada salah satu peristiwa terpenting di dalam Islam
iaitu Isra’ dan Mikraj yang mana ketika itu, Nabi Muhammad S.A.Wtelah
dinaikkan ke langit untuk menghadap Allah S.W.T. Baitulmaqdis juga
menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah ke Mekah, iaitu
kira-kira selama enam belas bulan. Kedua-dua peristiwa besar Islam ini
iaitu pembinaan Masjid al-Aqsa dan peristiwa Isra’ Mikraj ini berlaku di
atas tapak Haram al-Sharif.
Selain itu, Masjid Kubah Batu turut
dibina berdekatan dengan Masjid al-Aqsa dan telah dibina pada zaman
pemerintahan Khalifah Abdul Malik semasa era Bani Umayyah. Diriwayatkan
senibina masjid ini yang begitu indah dengan kubah berwarna keemasannya
yang menonjol adalah untuk menyaingi kehebatan senibina gereja-gereja di
sekitar Baitulmaqdis yang menjadi tumpuan ramai pelawat. Kini Masjid
Kubah Batu menjadi antara monumen tertua orang Islam yang sangat
dikenali.
Masjid ini mendapat namanya berikutan
dipercayai didirikan di atas tapak batu terapung yang terjadi ketika
peristiwa Isra’ dan Mikraj. Ironinya batu ini juga dianggap suci oleh
penganut Yahudi disebabkan kepercayaan bahawa ia merupakan pusat bagi
‘Mount Temple’ dan dianggap sebagai asas untuk pembinaan kuil mereka
satu masa nanti.
Tetapi menurut catatan sejarah ketika
Khalifah Umar al-Khattab r.a yang bertanggungjawab menjadikan
Baitulmaqdis sebagai salah sebuah wilayah Islam, setibanya di kota ini
beliau lalu bertanyakan mengenai batu yang menjadi tempatnya Baginda
Rasul dinaikkan ke langit, lalu ditunjukkan oleh penduduk kota pada
sebuah batu terbiar di atas tanah tinggi yang dikepungi oleh tembok.
Lebih malang apabila kaum Yahudi mengotorkan kawasan itu dengan najis
dan sampah sarap sebagai tanda penghinaan kepada lokasi peristiwa Isra’
Mikraj itu. Khalifah Umar membersihkan kawasan itu bersama-sama dengan
orang Mukmin yang lain dan membina Masjid al-Aqsa buat kali pertamanya
di bumi Baitulmaqdis itu.
Masyarakat Yahudi menganggap Haikal
ketiga dan sepatutnya menjadi yang terakhir seharusnya dibangunkan di
atas lokasi yang sama iaitu Haram al-Sharif bahkan perkara yang sama
turut dicatatkan di dalam kitab Injil. Perebutan tapak suci inilah yang
menjadi teras konflik antara Islam dan Yahudi selanjutnya menjadikan
kawasan suci ini sebagai tempat krisis yang masih belum selesai sehingga
sekarang.
Salah satu tembok yang mengelilingi
Haram al-Sharif ini, iaitu tembok di bahagian barat ataupun ‘Western
Wall’ ini menjadi tempat suci bagi penganut Yahudi. Tembok yang dibina
lebih daripada 2,000 tahun yang lampau ini merupakan satu-satunya
bahagian Haikal kedua mereka yang masih wujud.
Mereka menganggap Tuhan
mereka berada di sebalik tembok itu dan pandangan mereka terhalang
disebabkan dosa-dosa yang telah mereka lakukan. Oleh kerana itu lokasi
ini menjadi tempat mereka beribadat dan meratap di atas dosa-dosa yang
mereka lakukan dan amalan ini masalah berlangsung sehingga sekarang ini,
susulan dengan itu kadang-kadang tembok ini juga dirujuk sebagai
‘Wailing Wall’ ataupun tembok ratapan.
Mengikut agama Kristian pula, Baitulmaqdis juga mendapat kedudukan yang
mulia dan dianggap sebagai tanah suci mereka. Nabi Isa A.S yang
dilahirkan di Baitullaham iaitu sebuah bandar yang berhampiran dengan
Baitulmaqdis terus dibawa ke Baitulmaqdis sebaik sahaja dilahirkan.
Semasa remajanya, penganut Kristian percaya bahawa Nabi Isa A.S pernah
berkhidmat untuk mencuci Haikal kedua yang pada ketika itu masih
tertegak utuh di Baitulmaqdis. Selain itu juga, peristiwa penyaliban
dipercayai berlaku di dalam kawasan Baitulmaqdis tetapi lokasi yang
tepat masih lagi menjadi pertikaian sarjana-sarjana Kristian.
Pendapat yang paling diterima ramai adalah peristiwa itu berlaku pada
tapak di mana tertegaknya sebuah gereja yang dianggap paling suci oleh
penganut Kristian iaitu Gereja ‘Holy Sepulchre’, salah sebuah gereja di
dalam kawasan kota lama. Di sini juga dianggap sebagai lokasi orang yang
mereka percayai sebagai Nabi Isa A.S dimakamkan. Kota Baitulmaqdis
sehingga kini masih menerima pengunjung Kristian yang ramai dari seluruh
dunia terutamanya menjelang musim Easter.
Penguasaan orang Islam berterusan sehinggalah ke akhir zaman Khalifah Uthmaniyyah yang menyaksikan Baitulmaqdis dikuasai oleh British sehinggalah mandat penguasaan itu tamat. Kewujudan negara Israelpada tahun 1948 menyaksikan peperangan antara Arab dan Yahudi berlaku untuk menguasai wilayah Palestin yang ketika itu dibahagikan secara berat sebelah oleh badan dunia PBB.
Penduduk Arab yang mewakili dua pertiga diperuntukkan hanya sepertiga kawasan sementara sepertiga Yahudi mendapat selebihnya tanah Palestin. Ketika itu PBB mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai wilayah antarabangsa tetapi pertempuran tentera Israel dan Arab menyebabkan bahagian barat kota jatuh ke tangan Yahudi dan diisytiharkan sebagai ibu kota negara Israel tetapi tidak diiktiraf oleh dunia.
Bahagian timur Baitulmaqdis dikuasai oleh negara Jordan, termasuklah kawasan kota lama Baitulmaqdis ini. Sehingga waktu ini, Haram al-Sharif merangkumi keluasan hampir seperlima daripada keluasan kota lama Baitulmaqdis masih dikuasai oleh orang Islam.
Kota lama Baitulmaqdis terbahagi kepada empat bahagian. Bahagian pertama adalah bahagian orang Islam iaitu bahagian yang terbesar antara kesemua bahagian, Kompleks Haram al-Sharif adalah sebahagian daripada kawasan orang Islam. Bahagian kedua adalah bahagian Yahudi dan selebihnya merupakan bahagian Kristian dan bahagian Kristian Armenia, iaitu bahagian yang paling kecil antara semua.
Walaupun Orang Armenia juga merupakan penganut Kristian, tetapi mereka mendapat kawasan mereka sendiri di dalam kota dan bilangan mereka juga hanya kecil jika dibandingkan dengan kumpulan-kumpulan lain. Ketika Jordan menguasai kota lama, penganut Yahudi tidak dibenarkan beribadat di sekitar ‘Western Wall’ ataupun tembok ratapan itu dan kebanyakan tempat ibadat Yahudi ditutup dan sebahagian bahagian orang Yahudi di kota lama turut menempatkan penduduk Arab yang menjadi pelarian akibat wilayah mereka dirampas oleh Israel.
Tetapi perang pada tahun 1967 merubah lanskap kota ini sampai sekarang. Penglibatan Jordan di dalam perang negara-negara Arab dengan Israel menyebabkan bahagian timur kota ini jatuh ke tangan Yahudi, lebih teruk apabila wilayah Palestin yang selebihnya turut jatuh bersama sehinggalah ke Tebing Barat Sungai Jordan. Mesir pula kehilangan Semenanjung Sinai dan Genting Gaza sementara Syria terlepas Tanah Tinggi Golan.
Bermulanya kejatuhan Baitulmaqdis
ini menyaksikan banyak pencabulan dilakukan oleh bangsa Yahudi ke atas
Baitulmaqdis. Antaranya menjadikan kawasan ‘Western Wall’ sebagai tapak
ibadat mereka selain pembinaan penempatan haram Yahudi yang mengelilingi
kejiranan Arab di dalam usaha memastikan kota ini didominasi secara
penuh oleh Yahudi. Penempatan masyarakat Yahudi turut dibina di dalam
bahagian orang Islam.
Rumah-rumah penduduk Palestin dirampas
dan digantikan dengan perumahan Yahudi. Lebih teruk lagi apabila
kerajaan Israel meluluskan akta yang menggabungkan timur dan barat
Baitulmaqdis sebagai satu kota dan menjadi ibu kota Israel yang rasmi
menggantikan Tel Aviv yang sebelum ini menempatkan kedutaan-kedutaan
asing. Pejabat Presiden dan Perdana Menteri, kediaman Presiden dan
Perdana Menteri, bangunan Parlimen, Mahkamah Agung dan
kementerian-kementerian Israel semuanya dipindahkan ke Baitulmaqdis
secara beransur-ansur.
Perlu diingatkan bahawa walaupun
Israel menguasai kota ini secara total namun pengawalan kompleks Haram
al-Sharif diberikan kepada badan Islam sebagai kawasan wakaf dan juga
Raja Jordan dianggap sebagai penjaga Masjid al-Aqsa. Bendera negara
Israel juga tidak dibenarkan dikibarkan di sekitar Haram al-Sharif.
Penganut agama lain juga dilarang memasuki kompleks suci ini dan
askar-askar serta polis Israel berkawal di pintu masuk dan pengunjung
mesti membuktikan mereka ini adalah Islam sebelum memasuki kompleks
untuk beribadat. Langkah ini diambil bagi mengelakkan terjadinya
pertikaian seterusnya membawa kepada pertumpahan darah memandangkan
lokasi ini amat sensitif bagi semua penganut agama samawi.
Hari ini, Kota Baitulmaqdis masih berada di bawah kekuasaan bangsa Yahudi yang menyimpan impian untuk meruntuhkan Masjid al-Aqsa yang mahu digantikan dengan Haikal ketiga mereka yang dipercayai menjadi Haikal terakhir mereka, malahan mereka bertungkus lumus melakukan aktiviti carigali di sekitar kompleks Haram al-Sharif untuk menguatkan dakwaan pemilikan mereka ke atas kawasan suci itu sebelum terbinanya masjid-masjid di atasnya.
Mengikut berita yang tersebar luas, mereka melakukan penggalian di bawah tapak masjid sehingga meletakkan Masjid al-Aqsa dan Masjid Kubah Batu di dalam risiko keruntuhan akibat aktiviti yang kononnya berlandaskan kerja-kerja arkeologi itu. Kaum Yahudi kelihatan begitu teruja untuk merealisasikan pembinaan Haikal Sulaiman mereka itu, bagi mereka pembinaan itu adalah sesuatu yang menjadi tuntutan agama mereka dan perlu dilaksanakan, yang menjadi persoalan hanyalah bila Haikal Sulaiman itu akan dibangunkan?
No comments:
Post a Comment