Tuesday 4 September 2012

PELAJAR MALAYSIA MAUT KEMALANGAN DI RUSSIA


Dua pelajar Malaysia terbunuh dan 5 yang lain cedera dalam kemalangan jalan raya di Russia lewat malam tadi, demikian menurut duta besar Malaysia, Datuk Zainol Abidin Omar, pada Isnin.


Beliau berkata pelajar tersebut dikenal pasti sebagai Hanisah Muhd Shah, pelajar tajaan Mara dari Dungun, Terengganu; serta Adzreen Binyati, pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam dari Putrajaya.
Kedua-duanya pelajar tahun 5 dari Akademi Perubatan Negeri Nishny Novgorod, sedang dalam perjalanan menaiki sebuah van dengan 5 rakan lain universiti itu dari lapangan terbang Moscow ke Vladimirskaya bila kemalangan berlaku, kata beliau.
Beliau berkata pelajar tersebut baru saja pulang dari Malaysia setelah cuti Hari Raya bagi memulakan semester baru.
Zainol Abidin berkata Hanisah mati di tempat kejadian sementara Adzreen dalam perjalanan ke hospital.
Beliau berkata van yang dinaiki pelajar itu berlanggar secara berdepan dengan sebuah van lain.
Zainal Abidin berkata 5 lagi pelajar tersebut kini dirawat di sebuah hospital di Vladimirskaya.
Beliau mengenal pasti mereka sebagai Siti Nadiah Abdullah Sani, Nurul Amirah Mohd Nor, Nor Hidayah Jailuddin, Nur Liyana Kamarul Bahrin dan Siti Romeza Abdul Raza.
Ketika memberikan butir-butir kepada wartawan Malaysia yang meliputi sidang APEC 2012, Zainal Abidin berkata bantuan segera telah ditawarkan kepada pelajar berkenaan berikutan laporan daripada seorang daripada mereka mengenai kemalangan itu.
“Segala bantuan akan diberikan kepada pelajar di hospital sementara persiapan sedang dibuat segera bagi membawa pulang jenazah kedua-dua pelajar tersebut,” kata beliau.
“Ini tragedi dahsyat dan yang pertama di sini,” kata beliau.
Beliau juga berkata keluarga semua pelajar berkenaan telah diberitahu mengenai kemalangan itu. “Mereka begitu terkejut, kerana baru saja beberapa jam sebelumnya pelajar itu meninggalkan Kuala Lumpur,” kata beliau. 

No comments: