Datuk Mohd Nakhaie Ahmad
KUALA LUMPUR – Parti politik yang menggunakan nama Islam tidak menjamin akan melaksanakan atau berupaya untuk melaksanakan tuntutan Islam, kata pendakwah Datuk Mohd Nakhaie Ahmad.
Apatah lagi dalam kecelaruan hubungan kerjasama dengan rakan-rakan politik berkepentingan yang bukan Islam, semakin mustahil untuk parti berlabel Islam memastikan setiap yang dijalankan berteraskan ajaran Islam, katanya.
“Sebagai umat Islam kita wajib memilih pemimpin yang bukan sahaja mengakui mendukung perjuangan Islam tetapi menzahirkan tuntutan Islam itu dengan penuh bijaksana dan bermanfaat kepada rakyat dan negara.
“Kita kena pastikan bahawa ia benar-benar dilaksanakan dan tidak hanya retorik sahaja kononnya memperjuangkan Islam tetapi sebenarnya bercakap kosong,” katanya kepada Bernama baru-baru ini ketika diminta mengulas sama ada penggunaan nama Islam pada parti politik menjamin tuntutan Islam dilaksanakan parti itu.
Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu berkata parti politik yang menggunakan nama Islam sahaja tidak menjamin bahawa segala apa yang dilaksanakan kelak berteraskan Islam.
“Bersederhana dalam serba serbi lebih utama daripada bercakap tentang Islam berdegar-degar tetapi sebenarnya tiada apa pun yang dilaksanakan, tiada bukti.
Alasan yang diberi kononnya tiada kuasa untuk melaksanakan tuntutan Islam, tak dapat kita terima terutama apabila sudah memerintah negeri,” bidas Nakhaie.
Pengerusi Pertubuhan Persahabatan Dakwah Global itu berkata kerajaan pusat telah banyak melaksanakan pelbagai agenda yang dituntut oleh Islam namun tidak dilabelkan dengan jenama Islam.
“Contohnya, seperti membina universiti, sekolah, memberi kemudahan air, elektrik, rumah, masjid, surau dan jalan untuk keselesaan rakyat. Semua ini tidak dilabelkan dengan jenama Islam meskipun ia adalah perkara yang dituntut dalam Islam iaitu memberi kebajikan kepada rakyat,” katanya.
Tuntutan fardu kifayah itu banyak yang tidak difahami oleh umat Islam, katanya, sambil menambah bahawa pembangkang pula melabelkan semua perkara dengan jenama Islam seperti termasuklah kononnya maki hamun pun dibenarkan Islam serta bermusuhan juga dibenarkan Islam.
Mohd Nakhaie, yang pernah menjadi Naib Presiden PAS tetapi akhirnya keluar parti, berkata tidak semestinya seseorang yang kelihatan bertaqwa atau soleh sesuai dipilih untuk menjadi pemerintah, jika tidak berupaya dalam bidang pentadbiran, cekap menjana dan membangunkan ekonomi dan menjaga keselamatan negara.
Banyak ulama baik dari dalam mahupun luar negara yang mengiktiraf Malaysia sebagai model negara Islam yang terbaik, melihat kepada pelbagai usaha yang dijalankan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Umno, bukan saja selaras dengan Islam malah dituntut oleh Islam.
Ini termasuklah penubuhan insitusi pengajian tinggi seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 1983 yang telah menghasilkan puluhan ribuan siswazah yang kini mengamalkan ilmu Islam dalam pelbagai lapangan seperti undang-undang sivil dan syariah, ekonomi, sains kemanusiaan dan kejuruteraan.
Bukan itu sahaja, Tabung Haji yang ditubuhkan pada 1963, bagi memudahkan urusan umat Islam menunaikan rukun Islam yang kelima juga adalah manifestasi kesungguhan kerajaan BN memenuhi kebajikan umat Islam di Malaysia sehingga ingin dicontohi banyak negara lain.
Bukan sahaja Tabung Haji mengatur urusan jemaah haji Malaysia dengan tertib dan terpuji malah ia turut mencatat kejayaan dengan jumlah pendeposit kini mencapai lapan juta orang dan mampu saling membantu dan memberi subsidi kepada jemaah berlandaskan konsep Islam.
Hasil usaha Umno dan BN juga Malaysia terkenal di dunia Islam dengan majlis tahunan Tilawah Al-Quran yang kini masuk edisi ke-54, menarik penyertaan 60 qari dan qariah dari 76 negara.
Individu yang bertanggungjawab mengasaskan majlis berkenaan pada 9 Mac 1961 ialah Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang juga Bapa Umno dan Bapa Kemerdekaan dan bukannya daripada parti pembangkang yang berlabel Islam.
Ini adalah beberapa contoh dan bukti bahawa Islam itu diletakkan di tempat yang tinggi di dalam pentadbiran negara, yang dengan sendirinya menafikan tohmahan pembangkang kononnya Umno tidak mempertahan dan memartabatkan Islam.
Umat Islam harus bertanya kepada diri masing-masing sama ada pelbagai pencapaian dan kejayaan itu berlaku dengan sendirinya tanpa perancangan terperinci dan pelaksanaan gigih oleh kerajaan yang ditunjangi oleh Umno ini?
Yang juga berlandaskan Islam.
Pengerusi Sekretariat Ulama Muda Umno (ILMU) Fathul Bhari Mat Jahaya pula mengakui beliau sendiri merupakan saksi bahawa Umno memberi peluang dan ruangan seluas-luasnya kepadanya untuk berdakwah dan lantaran itulah memilih memperjuangkan Islam bersama Umno.
“Sebenarnya kami nak sampaikan Islam kepada sesiapapun. Dari sudut perlembagaan Umno dan PAS, perlembagaan Umno itu lebih luas merangkumi penghayatan Islam,” katanya, yang percaya bahawa banyak golongan ilmuan Islam muda kini sudah mendapat gambaran sebenar tentang perjuangan Umno dalam memartabatkan Islam.- Bernama
No comments:
Post a Comment