Sunday 15 July 2012

ZALIAH CABAR ANWAR...JANGAN SEPERTI 'PONDAN'..!!!

Zaliah Zakaria menunjukkan gambar Anwar dalam akhbar Utusan Malaysia sambil meminta Ketua Pembangkang itu membuat kenyataan berhubung isu RM3 bilion bagi membersihkan namanya di Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG  - Wanita yang dikaitkan dengan isu RM3 bilion, Zaliah Zakaria meminta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kenyataan berhubung perkara itu bagi membersihkan namanya.

Katanya, kenyataan itu penting kerana selain dapat menjelaskan perkara sebenar kepada masyarakat, ia juga dapat mengelak pandangan serong orang ramai terhadapnya dan keluarga.

"Saya mahu Anwar memberi kenyataan benar dan jangan berdiam diri seperti seorang 'pondan'.


"Saya kini hidup dalam keadaan tertekan kerana dikaitkan dengan isu itu kerana sering dipandang serong masyarakat selepas gambar dan nama saya disiarkan akhbar tempatan baru-baru ini," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sebuah hotel di Persiaran Gurney di sini.

Terdahulu, Zaliah membuat aduan kepada Pertubuhan Islam Gabungan Amal (Pertiga) Malaysia melalui Biro Pengaduan Awamnya di Bukit Jambul kerana menjadi mangsa politik sehingga mengancam ketenteraman ahli keluarganya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan pengakuan Zaliah yang dikatakan wanita misteri oleh ahli perniagaan, Ummi Hafilda Ali berhubung pemilikan akaun berjumlah RM3 bilion oleh Anwar.

Zaliah berkata, salah seorang daripada tiga anaknya turut terkena tempias yang sama daripada rakan sekolah sehingga enggan meneruskan sesi persekolahannya.

"Saya berasa tertekan kerana ada kenalan terdekat yang menggelar saya sebagai gundik kepada Anwar. Mana lagi saya nak lari, kecuali dalam lubang kubur dan disebabkan masalah ini saya telah membuat laporan polis di Kuala Lumpur baru-baru ini," katanya

Zaliah berkata, kenyataan Ummi Hafilda bahawa beliau mengenali Anwar serta cukai pendapatannya mencecah RM50 juta dan memiliki atau mempunyai kaitan dengan 62 hartanah mewah berupa kondominium dan banglo, kebanyakannya di Pulau Pinang turut menyebabkan keselamatan keluarganya terancam.

Bagaimanapun, Zaliah enggan mengulas mengenai cukai pendapatan RM50 juta itu.

"Saya bimbang disebabkan kenyataan Ummi Hafilda itu, keselamatan anak-anak saya dalam bahaya kerana bimbang mereka diculik," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau turut meminta Ummi Hafilda agar membuat penjelasan mengenai perkara tersebut untuk mengelakkannya daripada terus dikaitkan dengan isu itu.

Sementara itu Presiden Pertiga, Sabaruddin Ahmad mengingatkan Anwar agar jangan terlalu selesa dengan sikap berdiam diri sehingga membiarkan pihak ketiga menjadi mangsa tohmahan dalam agenda politik beliau.

~  utusan online

No comments: