Kuala Lumpur: Kerajaan mengarahkan pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik ditutup serta-merta dan semua rakyat yang berada di Syria dibawa pulang segera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan mengeluarkan arahan itu berikutan pergolakan yang semakin meruncing di negara berkenaan. “Ketika berbuka puasa tadi (malam tadi), Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menghubungi saya memohon izin membawa pulang rakyat dan pelajar kita di sana.
“Keadaan semakin meruncing disebabkan pertembungan dua puak dan ia boleh memberi kesan kepada pelajar kita.
“Jadi, saya izinkan dan mengarahkan kedutaan kita juga ditutup bagi tujuan keselamatan,” katanya ketika berucap selepas menunaikan solat Isyak dan Tarawih di Masjid Pulau Serai dekat Pekan, malam tadi. Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.
Ketika ini ada 138 rakyat Malaysia, iaitu 128 penuntut dan 10 ekspatriat di negara bergolak itu, manakala berpuluh-puluh yang lain sudah keluar sejak beberapa minggu lalu.
Semua rakyat Malaysia itu akan dikeluarkan menerusi jalan udara bermula esok menggunakan pesawat syarikat penerbangan yang masih beroperasi dari Damsyik. Difahamkan, mereka akan dipindahkan ke Dubai, Abu Dhabi dan Doha sebelum dibawa pulang.
Dalam kenyataan media, Anifah berkata, pemindahan itu sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan pelajar dan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.
“Mengambil kira perkembangan di Syria yang semakin melarat, kerajaan mengambil keputusan memulakan proses pindah pelajar Malaysia dengan segera,” katanya.
Proses pemindahan akan diselaraskan Kementerian Luar, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik.
Anifah mengesahkan 138 rakyat Malaysia di Syria sudah berdaftar dengan pejabat Kedutaan Besar di Damsyik dan semua berada dalam keadaan selamat.
Panggil duta pulang
Katanya, kerajaan juga membuat keputusan memanggil pulang Duta Besar Malaysia di Syria dan empat pegawai kedutaan buat sementara waktu bagi menjamin keselamatan mereka.
“Bagaimanapun, proses pemindahan duta dan pegawai kedutaan hanya akan dilakukan selepas pemindahan pelajar dan rakyat kita yang lain selesai,” katanya.
Anifah turut menggesa rakyat Malaysia lain yang masih berada di Syria supaya pulang ke tanah air atau meninggalkan negara itu dengan kadar segera selain menasihatkan mereka yang berhasrat melawat Syria menangguhkannya sehingga situasi kembali pulih.
Sementara itu, Setiausaha MKN, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab ketika dihubungi berkata, semua urusan dokumentasi berkaitan dilakukan pegawai agensi terbabit sejak seminggu lalu bagi membolehkan proses pemindahan dilakukan dengan serta-merta.
Wisma Putra juga membuka bilik operasi dan orang awam boleh menghubunginya untuk sebarang pertanyaan mengenai proses pemindahan ini. Bilik Operasi Wisma Putra boleh dihubungi menerusi 03-88874570.
INFO
Syria
- Pergolakan bermula sejak Mac 2011, menentang pemerintahan Presiden Bashar al-Assad.
- Tentera Pembebasan Syria (FSA) – kumpulan pemberontak.
- Lebih 20,000 orang terbunuh setakat ini.
- 22 juta jumlah penduduk Syria
No comments:
Post a Comment