Friday 29 June 2012

'DATUK' GUNA SPDM PALSU UNTUK KAUT KEUNTUNGAN

TIPU...Roshazreel menunjukkan logo kepala surat yang palsu (kiri).

PUTRAJAYA: Pertubuhan Sukarelawan Pencegahan Dadah Malaysia (SPDM) mendapati ada individu menyalahgunakan nama dan memalsukan logo pertubuhan itu pada kepala surat ditandatangani seorang bergelar ‘Datuk’ bagi memperdayakan pihak tertentu, sekali gus mengaut keuntungan mudah daripada sumbangan orang ramai.

Yang Dipertua SPDM, Roshazreel Roslan berkata, beliau menyedari perbuatan individu terbabit selepas menerima panggilan telefon daripada seorang kakitangan sebuah bank yang memaklumkan mengenai penerimaan e-mel daripada pertubuhan itu bagi menukarkan nama akaun sumbangan ke atas nama Pengurusan SPDM baru-baru ini.

Katanya, perkara berkenaan menghairankannya kerana beliau tidak pernah membuka akaun di mana-mana bank menggunakan nama Pengurusan SPDM, sebaliknya segala sumbangan dan dana daripada orang ramai melalui bank hanya menggunakan akaun atas nama SPDM. “Saya tidak pasti motif sebenar individu terbabit menggunakan nama dan logo pertubuhan ini pada surat ditandatangani seorang individu bergelar ‘Datuk’ yang kononnya memegang jawatan sebagai penasihat kehormat pertubuhan. “Padahal dalam pertubuhan ini tidak wujud jawatan berkenaan, malah segala surat-menyurat sepatutnya ditandatangani saya sendiri, bukan orang lain. “Logo pertubuhan digunakan individu terbabit juga sebenarnya ada sedikit perbezaan dengan logo sebenar khususnya dari segi posisi nama pertubuhan yang disalah letak,” katanya ketika Harian Metro di sini, semalam. Roshazreel berkata, berdasarkan beberapa maklumat diperoleh, beliau percaya perbuatan itu dilakukan individu dikenalinya. “Saya mengesyaki seorang lelaki kerana baru-baru ini saya juga pernah berurusan dengannya, malah memintanya bekerjasama dalam satu program,” katanya.


Katanya, bagi mengelakkan penipuan itu berterusan, malah menjaga nama baik SPDM dan pada masa sama mengelakkan orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan individu terbabit, beliau melaporkan perkara berkenaan di Balai Polis Kajang, Selangor pada 6 Jun lalu.

“Perbuatan individu terbabit boleh menyebabkan nama SPDM buruk. Kita tidak mahu ada pihak termasuk agensi kerajaan, swasta dan badan korporat tertipu dengan individu terbabit.

“Mana-mana pihak yang pernah menerima surat permohonan sumbangan daripada Pengurusan SPDM atau yang sudah memberi sumbangan kepada akaun itu diminta membuat laporan polis. Mereka juga boleh menghubungi talian hotline pertubuhan 011-15565111,” katanya.
SH

No comments: