Sunday, 18 March 2012

JANGAN ANGGAP DIRI TERLALU BERKUASA UMPAMA TUHAN..!!!

      VS     



SETELAH gagal menyaingi keterampilan Presiden MCA, Chua Soi Lek dalam perdebatan tempoh hari, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menerima satu lagi tamparan.

Kali ini, beliau menerima kritikan daripada Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berhubung isu projek mega di negeri itu.

Isu tersebut menyaksikan perang mulut antara Guan Eng dan Presiden CAP, S.M Mohamed Idris. Kalau dalam perdebatan dengan Soi Lek, beliau nampak rasis, dalam isu melibatkan CAP pula, terserlah emosionalnya.
S.M Mohamad sebelum itu melahirkan kekecewaan terhadap Guan Eng kerana kurangnya rundingan awam oleh kerajaan DAP Pulau Pinang dalam beberapa projek mega yang dilaksanakan.

Guan Eng dalam reaksinya bertindak seperti budak-budak. Sudahlah tidak memberikan penjelasan yang sewajarnya, beliau mendakwa ia bukan pertama kali S.M Mohamed membuat kesilapan. Gambaran yang diberikan seolah-olah peneraju CAP itu selalu membuat kesilapan sedangkan orang ramai tahu hakikat sebenar integriti dan jasa S.M Mohamed.

Ketika Guan Eng masih berhingus dan berlampin, S.M Mohamad sudah menyemai bakti kepada masyarakat. Keunggulan dan komitmen beliau tiada tandingan. Pada penulis, beliau layak untuk dicalonkan sebagai penerima Hadiah Nobel. Lagipun beliau lebih memahami Pulau Pinang berbanding Guan Eng, yang dilahir dan dibesarkan di Melaka, cuma bernasib baik menang pada PRU lepas di Pulau Pinang.

Kerap juga penulis tertanya apakah tiada pemimpin DAP tempatan yang layak diangkat menjadi Ketua Menteri tetapi itulah kronisme. Pemimpin utama DAP Lim Kit Siang memang sudah lama mengatur untuk melonjakkan anaknya itu sehingga akhirnya menjadi Setiausaha Agung dan pemimpin kerajaan negeri. Ramai pemimpin DAP lain yang berbakat terpinggir.

Guan Eng juga dilaporkan tidak mahu mengungkit kesilapan lalu S.M Mohamed kerana sudah tua dan merupakan tokoh disegani. Kalau benar beliau sudah tua dan disegani, itu bukan cara menjawabnya. Ramai yang terkejut dengan reaksi Guan Eng. Di kalangan pemimpin kaum Cina termasuk Ketua Wanita MCA Tan Cheng Liang, menganggap beliau biadab dan sombong. Penulis sudah lama tahu tentang perangai Guan Eng yang tidak boleh menerima kritikan. Beliau mudah melenting jika ditegur. Mana-mana media yang mengkritik beliau, akan diboikot dan dilemparkan dengan pelbagai dakwaan. Bayangkan seorang pemimpin parti dan kerajaan negeri boleh menuduh akhbar sebagai penjahat tetapi itulah yang Guan Eng lakukan.

Demokrasi dan kebebasan bersuara yang beliau serta DAP laungkan sebelum PRU 2008, hanyalah retorik murahan. Penulis sudah faham sangat mengapa beliau mudah melenting antaranya kerana itulah strategi beliau agar tidak menjawab persoalan sebenar. Dalam isu kritikan CAP, memang ada asasnya kerana kerajaan negeri banyak melaksanakan projek mega. Baru empat tahun mentadbir, projek mega lebih menjadi tumpuan tetapi sangat kurang dirujuk kepada rakyat terlebih dahulu menerusi rundingan awam. Penulis ingin bertanya apakah ini kerajaan negeri untuk rakyat atau untuk nafsu sendiri? 

Dari persepsi rakyat, sekali lagi, Guan Eng kelihatan gagal. Apatah lagi adalah satu kesilapan untuk berbalah dengan tokoh seperti S.M Mohamed. Penulis tertarik dengan reaksi balas beliau: “Ini bukan amalan demokrasi. Demokrasi bermaksud berkongsi kuasa dengan rakyat.” Malah S.M Mohamed mengingatkan pemimpin politik agar jangan menganggap diri terlalu berkuasa umpama tuhan atau malaikat. Meskipun tidak menyebut nama, semua boleh tahu pada siapa ia ditujukan. Mesej yang keras dan jelas. Tiada pemimpin lain sebelum ini yang dikaitkan begitu. Malulah pada diri sendiri.

No comments: