Wednesday 22 February 2012

YAHYA SULONG KOMA DI ICU HOSPITAL AMPANG..

Pelakon dan pelawak veteran, Datuk Yahya Sulong, 84, kini koma dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang sejak malam tadi.




Isteri beliau, Datin Alisah Ali, 65, berkata, suaminya itu menghidap pelbagai penyakit antaranya asma, jangkitan kuman dalam paru-paru, sakit jantung dan kesukaran untuk bernafas.


“Pagi semalam, dia masih sihat dan boleh keluar makan bersama saya. Selepas bangun tidur kira-kira pukul 3 petang, dia tiba-tiba tidak boleh bergerak sehingga terpaksa dikejarkan ke HKL (Hospital Kuala Lumpur).


“Berikutan peralatan perubatan yang tidak cukup, suami saya terpaksa dikejarkan ke Hospital Ampang malam tadi.
“Ketika ini, dia masih tidak sedarkan diri, namun sekali sekala, dia masih bergerak,” katanya yang menetap di Pangsapuri Seri Perak, Bandar Baru Sentul bersama Yahya.


Sementara itu, penyanyi Salwa Abdul Rahman ketika dihubungi memaklumkan, beliau sempat mengunjungi Yahya di Hospital Ampang hari ini.


Beliau yang juga ahli jawatankuasa Biro Artis Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) berkata, beberapa rakan artis lain turut hadir antaranya, komposer S. Atan dan Ibnor Riza.


Difahamkan, Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez akan menziarahi Yahya esok.


“Sebagai rakan artis, saya meminta semua peminat seni tempatan agar mendoakan kesihatan Datuk Yahya. Beliau merupakan seorang artis veteran yang banyak berjasa kepada tanah air,” kata Salwa.

No comments: