Di dalam ucapan penggulungan Presiden semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan bahawa PAS sudah menyimpang dari perjuangan sebenar dengan bersekongkol bersama sebuah parti yang sangat bertentangan dasarnya antara satu sama lain.
Memahami kata-kata Presiden itu, saya bersetuju dengan kata-katanya tersebut. Pada saya, parti yang dimaksudkan Najib itu tidak lain tidak bukan ialah DAP yang sangat berbeza dasar perjuangannya dengan PAS.
Sebagai seorang yang berkawan baik dengan ramai puak-puak PAS di utara semenanjung, saya terpanggil untuk menghubungi beberapa rakan PAS, bertemu dan berborak mengenai soal politik. Malam itu, antara yang menjadi topik panas antara kami ialah mengenai kewajaran PAS untuk terus bersama Pakatan Haram.
Mengejutkan saya, semua rakan-rakan PAS yang hadir sekitar 7 orang malam itu sebulat suara mahu parti mereka keluar dari Pakatan Haram. Malah, mereka yang juga merupakan antara orang berjawatan kanan dalam Dewan Pemuda PAS di kawasan mereka menggelar Pakatan Rakyat sebagai “Pakatan Haram”!
Untuk pengetahuan, kami semua merupakan bekas pelajar-pelajar sebuah sekolah agama yang mahir berbahasa Arab dan mampu berhujah dengan dalil aqli dan naqli memandangkan latar belakang pendidikan masing-masing. Namun, hanya sebilangan kecil dari “badge” kami yang condong ke arah UMNO manakala majoriti yang lain memilih PAS. Rakan saya yang 7 orang ini tidak tahu pun saya seorang blogger mahupun penyokong UMNO. Apa yang mereka tahu, saya digolongkan dalam golongan “atas pagar”…
Salah seorang rakan dari Kedah menyatakan bahawa dia kesal dengan apa yang terjadi pada PAS pada ketika ini. Menurutnya, PAS dahulu tidak sebegini. Dulu, PAS sangat independent dan tidak “bacul” seperti sekarang. Dulu, meskipun PAS berdiri sendirian, namun parti itu dilihat mampu mengancam UMNO dari segi ketulenan sokongan dan perjuangan.
Selain itu, dia yang kini merupakan seorang ustaz dan penceramah politik PAS di kampung-kampung, dia kini malu dengan PAS memandangkan kedunguan pimpinan, terutamanya “Tok Guru”, yang menjadikan alasan “tahaluf siyasi” untuk terus bersama DAP dan PKR, sekaligus menjadi “barua” mereka. Padanya, meletakkan PAS di dalam Pakatan Haram samalah seperti memperhambakan diri kepada kuffar dan golongan yang tidak ikhlas dalam perjuangan mereka.
Seorang rakan dari Pemuda PAS di sebuah kawasan di Perak pula menyampuk. Dia kesal dengan apa yang berlaku pada kepimpinan PAS di Perak, maksudnya Nizar Jamaluddin. Terang-terang sangat Nizar menjadi hamba Nga dan Ngeh ketika menjadi MB. Menurutnya yang punya rangkaian dalam kerajaan pimpinan Nizar dahulu, dia tahu apa yang berlaku di kalangan Exco-Exco dan MB Perak.
Kesalnya bertambah lagi apabila menyedari bahawa Nizar hanya sekadar menjadi “Pak Turut” tanpa sebarang kuasa melainkan melaksanakan kemahuan DAP. Pendekatan “tahaluf siyasi” yang digunakan PAS itu jelas mengenepikan perjuangan asal parti itu dan mengecewakan ramai akar umbi parti itu. Dia sendiri mengaku bahawa ratusan penyokong PAS di kawasannya kini semakin hambar dan malu dengan apa cara pendekatan PAS itu…
Seorang lagi rakan dari Pemuda PAS di Kedah juga bersetuju dengan hujah kedua rakan tadi. Cuma bezanya di Kedah, PAS hanya konsisten dengan perjuangan mereka ketika sebelum menang di negeri itu saja. Selepas PAS menang di Kedah, parti itu menjadi kucar kacir dan masalah dalaman PAS Kedah menjadi bahan tertawa para penyokong UMNO di negeri itu.
Menurutnya, PAS Kedah terpecah kepada beberapa kumpulan hanya kerana mahu kuasa. Sedangkan sebelum mendapat kuasa dahulu, semua pemimpin PAS bersatu dan tiada sebarang perebutan berasaskan kuasa sebagaimana sekarang. Menurutnya, itulah contoh sekiranya PAS mendapat kuasa di sesebuah negeri dan membingungkannya, PAS lebih teruk dari UMNO! Dia sendiri tidak tahu mengapa PAS jadi sebegitu teruk, sama ada dari segi pentadbiran apatah lagi berhubung masalah dalaman parti itu sendiri.
Memeritkan lagi, 2 orang rakan dari PAS Pulau Pinang yang dari dulu mendiamkan diri mula bersuara. Katanya di Pulau Pinang, PAS lebih teruk dari PAS Kedah dan Perak. Bukan saja menjadi “hamba”, pemimpin PAS Pulau Pinang bertindak menjadi “jasper” yang mengekori, mengipas dan membodek Lim Guan Eng tanpa rasa malu!
Menurutnya, penyokong PAS Pulau Pinang dahulu memberikan harapan tinggi kepada Guan Eng sebagai “Khalifah” mereka, sebagaimana yang diperkatakan bahawa KM Pulau Pinang itu mahu mencontohi Khalifah Umar Abdul Aziz. Malangnya, setelah lebih 3 tahun memerintah, pemerintahan Guan Eng lebih mirip kepada konsep “Maharaja China” yang menggunakan kuasa vetonya memberikan kelebihan kepada kaum Cina berbanding kaum lain.
Selain itu, dia turut menyatakan bahawa orang-orang Melayu sama ada dari PAS mahupun PKR di Pulau Pinang kini mula malu memakai lambang parti mereka dan sekiranya di tanya mengenai parti pilihan mereka, mereka lebih suka untuk mengaku sebagai ‘tidak berparti’ dan ‘atas pagar’!
Saya mencelah, dan bertanyakan pendapat mereka tentang apa yang diperkatakan Najib ketika memberi ucapan penggulungan di atas. “Tadi Najib kata PAS hilang dasar perjuangan dan menjadi barua DAP dan PKR”, kata saya semalam. “Betullah tu..!” kata mereka mengiyakan kata-kata Najib tersebut. “Memang PAS dah jadi macam barua DAP dan PKR pun..”, kata mereka kesal memprotes parti sendiri.
Mereka juga sebulat suara mahu PAS keluar dari Pakatan Haram kerana tak mahu lagi ber”tahaluf siyasi” dengan DAP dan PKR yang mana merugikan parti mereka sejak awal lagi. Pada mereka, “tahaluf siyasi” yang digunapakai Rasulullah SAW dahulu menguntungkan Islam di zaman Baginda. Sebaliknya, ‘tahaluf siyasi’ yang diguna PAS ini merugikan dan meletakkan perjuangan parti itu dalam kehinaan yang tidak boleh lagi ditoleransikan.
Saya terfikir. Sedarkah PAS tentang apa yang telah berlaku diperingkat akar umbi mereka? Apakah para kepimpinan mereka sengaja “memekakkan telinga”? Apakah harga yang ada pada “suara akar umbi” di dalam PAS? Jika para penyokong PAS sendiri sudah mengaku kekhilafan parti itu, apakah para pemimpin mereka sanggup membatukan diri dari menyelesaikan masalah tersebut? Sampai bila PAS akan terus begini? Mungkin sampai Nik Aziz meninggal? Begitu?
Credit to - Perak Today
No comments:
Post a Comment