Showing posts with label ZAHID HAMIDI. Show all posts
Showing posts with label ZAHID HAMIDI. Show all posts

Friday, 29 June 2012

ANAK JAWA BAGAN DATOH BAKAL PIMPIN MALAYSIA...???!!!



Oleh: Yusuf harun

APABILA membincangkan siapakah yang harus menjadi Perdana Menteri (PM) kalangan pemimpin Pakatan Rakyat, balik-balik nama disebut ialah Anwar Ibrahim, kemudian Haji Hadi Awang. Ada orang kata, “Macam tak ada orang lain lagi.”

Tafsirannya mudah. Nampaknya tidak ada barisan pemimpin pembangkang yang benar-benar layak untuk dicalonkan ke jawatan tertinggi itu. Sebaliknya, majoriti pemimpin dalam PKR dan Pas hanya berkemampuan jadi menteri sahaja. Itu pun berdasarkan ceramah politik atau kenyataan mereka yang tersiar dalam media.

Cakap memang semua orang boleh cakap sedangkan hasilnya belum terbukti, semua orang boleh buat. Ini berbeza dengan kem BN, terutamanya Umno. Sejak dulu lagi Umno tidak pernah ketandusan pemimpin yang layak menjadi PM. Cuma ada yang tidak bernasib baik dalam pemilihan pucuk pimpinan parti atau kurang berminat untuk mempromosikan diri sebagaimana dilakukan Anwar.

Dalam Umno, ramai pemimpin yang berpotensi, walaupun bukan daripada kalangan Naib Presiden Umno. Ada satu atau dua kalangan kepimpinan Pemuda yang mempunyai flair dan karisma untuk menjadi PM. Begitu juga mereka yang terpilih selaku Naib Presiden dalam pemilihan lalu. Antaranya, seorang anak Jawa dari Bagan Datoh yang pernah menjadi Ketua Pemuda Umno dan kini, Naib Presiden Umno.

Walaupun Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sering menjelaskan kepada umum bahawa beliau tidak bercita-cita menduduki jawatan tersebut tetapi beliau nampaknya tidak berdaya menghalang kejayaan yang ditakdirkan ke atas dirinya.

Kira-kira 30 tahun dulu ketika Dr Mahathir menjadi PM, Zahid hanyalah seorang Mat Motor yang berpendidikan tinggi, berakhlak dan berkerjaya. Beliau kerap menganjurkan konvoi motosikal berkuasa tinggi bagi memupuk kesetiakawanan kalangan belia. Kini cintanya pada motor besar masih berkobar-kobar. Atas semangat dan tujuan ini jugalah Zahid berada dalam Umno.

Namun ditakdirkan Zahid kini berada dalam kalangan pemimpin Pemuda Umno, dilantik menjadi Ketua Penerangannya ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Ketuanya dan akhirnya menjadi Ketua Pergerakan tersebut. Ibarat orang bermain silat dalam gelanggang yang dipenuhi pemain yang sama handal, Zahid tidak menunjukkan buah-buah yang boleh membawa pukulan maut. Dia sedar bukan masanya untuk mendahului mana-mana pihak namun sebagai Naib Presiden Umno, Zahid berada kalangan tokoh yang bakal bersaing masa depan.

Tentu sekali, sebagai pemimpin kanan parti dan menjawat jawatan antara kementerian terpenting negara beliau tidak sunyi daripada ujian, kritikan, fitnah dan tohmahan. Namun Ahli Parlimen Bagan Datoh ini cukup masak dengan pengalaman politik – baik dalam mahupun luar Umno. Zahid melalui detik bersejarah apabila tekanan menyebabkan dia terpinggir sebagai Ketua Pemuda Umno - ini semua gara-gara perkataan kroni yang ditimbulkan dalam ucapan dalam perhimpunan agung Pemuda Umno. Ucapan itu ditujukan kepada kepimpinan Mahathir kerana ketika itu Anwar macam sudah tidak sabar untuk merampas kuasa.

Kini umum mengetahui betapa itu adalah permainan politik Anwar. Namun Anwar tidak sedari ketika itu ialah sesetengah dalam kepimpinan parti berasakan Zahid adalah pemimpin masa hadapan sebaik terpilih sebagai Ketua Pemuda. Telahan mereka itu tepat apabila Zahid kemudiannya dipilih pula menjadi Naib Presiden Umno. Undi tertinggi yang diperoleh adalah memberi pengertian bahawa “wak” sudah dipersiapkan sebagai pemimpin pelapis.

Walaupun sekadar memiliki ijazah pertama pada peringkat awal namun kesungguhannya dalam kesibukan pekerjaan berjaya mendapat ijazah sarjana serta kini peroleh ijazah PhD dari UPM. Jika perhatikan, kenyataan Zahid diadun dengan fakta. Contohnya, ketika menghadiri sidang media di Bagan Datoh baru-baru ini, subjeknya mengenai dasar baru tentera laut AS yang beralih dari Timur Tengah ke rantau sebelah sini bagi mengimbangi pengaruh Republik China.

Sebagai Menteri Pertahanan, Zahid memahami percaturan imbangan kuasa Barat-Timur, terutamanya Barat-China, yang mahu menjadikan Malaysia sebagai bidak atau pawn mereka. Komen beliau adalah sebagai unjuran pemikiran apa yang bakal dihadapi negara ini apabila disenarai negara maju dalam masa tidak sampai sedekad lagi.

Wawasan Zahid adalah praktis dan bersifat global. Hal seperti ini adalah tidak terlalu jauh daripada pemikiran seseorang PM yang harus memikirkan perihal negara dalam konteks global dan sejagat. Jika umum menghalusinya, jelas anak Jawa dari Jelapang Nyiur negara ini cukup berpotensi untuk menduduki jawatan nombor wahid itu satu ketika nanti.-SH

Tuesday, 26 June 2012

16 SMS ALI TINJU UNTUK ISTERI ZAHID...!!!




KUALA LUMPUR - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan bahawa isterinya menghantar SMS ugutan kepada Presiden Persatuan Veteran Tentera Malaysia (PVTM), Mohd Ali Baharom.

Menurutnya, beliau sendiri membaca SMS yang dihantar isterinya kepada Mohd Ali atau lebih dikenali sebagai "Ali Tinju" dan menyifatkan ia bukan berbentuk ugutan.

"Isteri saya dengan Ali Tinju ini satu kampung dan kenal antara satu sama lain walaupun bukan saudara.

"Saya tanya isteri saya berapa SMS yang Ali hantar, dia cakap 16 SMS dihantar. Ali Tinju ini perangai, dia akan hantar SMS kepada semua orang, termasuk isteri saya. Jadi, isteri saya hantar SMS untuk nasihatkan Ali, tetapi Ali hanya petik satu ayat sahaja daripada SMS isteri saya," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Ahmad Zahid turut menyangkal dakwaan Mohd Ali bahawa beliau tidak berada di Kementerian Pertahanan pada 29 Jun ini kerana bercuti di kem komando Mersing.

"Mana ada, dalam jadual saya tidak pergi pun ke Mersing pada tarikh itu. Jangan tipu media, jangan tipu rakyat. Kalau nak berkhidmat kepada bekas tentera, berkhidmat dengan jujur.

"Sekiranya dia nak buat demo secara aman, itu hak dia, saya serahkan keputusan pada dia," katanya.

Sebelum ini, Mohd Ali berkata PVTM menangguhkan rancangan untuk berdemonstrasi di hadapan Mindef  pada 29 Jun ini kerana Ahmad Zahid tidak berada di pejabat kementerian itu pada tarikh tersebut.

Katanya, berdasarkan risikan, Ahmad Zahid ingin lari ke kem komando Mersing untuk rehat selama dua hari.

Mohd Ali juga mendakwa isteri Ahmad Zahid, Datin Seri Hamidah Khamis  juga menghantar SMS memberikan amaran kepadanya berhubung perhimpunan tersebut.

Katanya, SMS ugutan itu berbunyi, "Perlu diingat Datuk Seri Zahid Hamidi bukan sendirian dan (dia) bermaruah. Saya tak fikir orang-orang akan berdiam diri dan senang-senang nak buat kacau-bilau depan Mindef".

Mohd Ali memberikan Zahid tempoh 136 jam untuk berdialog dengan PVTM dan mengugut sekiranya gagal berbuat demikian, PVTM akan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memecat beliau.

Beliau menggariskan 11 tuntutan veteran tentera dan di antaranya adalah pemberian saguhati tahunan kepada mereka yang tidak berpencen.

Beliau turut menggesa Jabatan Hal Ehwal Veteran Tentera (JHEV) supaya mengagihkan dana rayuan Hari Pahlawan kepada presiden-presiden kelab tentera secara adil dalam program khas.