Showing posts with label HOKI PIALA SULTAN AZLAH SHAH 2012. Show all posts
Showing posts with label HOKI PIALA SULTAN AZLAH SHAH 2012. Show all posts

Friday, 25 May 2012

HOKI PIALA SULTAN AZLAN SHAH 2012 - 2 JARINGAN FAIZAL SHAARI BANTU MALAYSIA SERI DENGAN GREAT BRITAIN



IPOH - Dua jaringan oleh Faizal Saari pada tempoh lima minit sebelum tamat perlawanan telah membantu Malaysia seri 3-3 dengan Great Britain pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2012 di sini, malam ini.

Faizal berjaya mencuri ruang untuk menyumbat dua gol dalam tempoh dua minit iaitu pada minit ke-67 dan 68, untuk membantu pasukan tuan rumah mengekalkan rekod tanpa kalah dengan dua perlawanan seri setakat ini.

Great Britain, tuan rumah Sukan Olimpik 2012, memulakan aksi kejohanan dengan jaringan seawal minit kelima menerusi Glenn Kirkham selepas berlaku pergelutan di hadapan pintu gol Malaysia.

Bagaimanapun, dengan sokongan padu 3,000 penonton tempatan, Malaysia bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi gerakan pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Azlan Misron pada minit ke-10.

Great Britain menggandakan asakan sehingga memaksa benteng pertahanan negara kucar-kacir sebelum berjaya menjaringkan gol menerusi Ashley Jackson pada minit ke-20 dan dikuti Rob Moore, lima minit kemudian.

Great Britain mendahului 3-1 sehingga tamat babak pertama.
   
Bermula babak kedua, skuad negara memulakan asakan sebaik bermula perlawanan dan memperolehi pukulan sudut penalti tiga minit selepas itu tetapi gerakan set piece yang dirancang berjaya dibaca penjaga gol lawan yang menolak keluar bola.

Great Britain, yang menduduki ranking keempat dunia, turut melakukan serangan bertali arus bagi mencari tambahan gol tetapi berjaya dihalang barisan pertahanan negara.

Sementara itu, Faizal Saari yang ditemui selepas perlawanan berkata, beliau telah diarahkan kapten pasukan, Mohamad Syukri Mutalib supaya menggandakan asakan bagi mencari gol.

"Bermula dari itu, dalam perlawanan berbaki lima minit, kami di bahagian serangan menggandakan asakan dan mencari gol...dan saya bersyukur kerana dapat menjaringkan dua gol di dalam perlawanan ini.

"Jaringan tersebut adalah yang terbaik dalam karier saya sebagai pemain negara dan akan mencuba lebih baik di dalam perlawanan seterusnya," katanya.

Jurulatih Tai Beng Hai menyifatkan keputusan itu adalah terbaik memandangkan pasukan lawan itu ternyata lebih gagah dan yakin.

Semalam, Malaysia seri 1-1 dengan Korea Selatan.- Bernama

HOKI PIALA SULTAN AZLAN SHAH 2012 : JARINGAN FAIZAL SHAARI MENAFIKAN HASRAT KOREA KALAHKAN MALAYSIA PADA PERLAWANAN PERTAMA !!!

Pemain Malaysia, Muhamad Rahmadan Mohammad Rosli (tengah) cuba melepasi dua pertahanan Korea Selatan pada kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2012 di Ipoh, malam tadi.

IPOH - Malaysia bangkit untuk mengikat Korea Selatan 1-1 dalam perlawanan pertama Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah Ke-21 di Stadium Azlan Shah, Ipoh, malam tadi.

Pemain remaja negara, Faisal Saari menafikan hasrat Korea Selatan untuk mencatat kemenangan apabila dia menjaringkan gol penyamaan ke-56, setelah pasukan lawan mendahului menerusi jaringan Seo Jong Ho pada minit kelapan.

Mengulas keputusan perlawanan, jurulatih Tai Beng Hai berkata, dia berpuas hati apabila anak buahnya bangkit setelah ketinggalan untuk mengikat Korea Selatan, pasukan yang mengalahkan Malaysia 2-3 pada Kelayakan Olimpik di Dublin, Mac lalu.

Katanya, lebih membanggakan pemain negara mengetepikan status ranking Korea Selatan yang lebih baik iaitu pada kedudukan keenam dunia, berbanding skuad negara pada ranking ke-13 dunia.

"Saya anggap ini persembahan luar biasa oleh pemain kerana berjaya bertahan terutama pada 10 minit terakhir perlawanan ketika mengasak serangan lawan yang cuba mencari gol kemenangan.

"Keputusan seri ini lebih daripada memadai jika mengambil kira kedudukan ranking yang begitu jauh di antara Malaysia dan Korea Selatan.

"Pujian juga harus diberikan buat pemain skuad remaja yang disenaraikan pada kejohanan kali ini kerana berjaya menggalas tugas diberikan," kata Beng Hai selepas perlawanan.

Mengenai pertembungan dengan Britain hari ini, Beng Hai berkata, tidak banyak maklumat yang diketahui mengenai corak permainan terbaru pasukan itu.

"Untuk perlawanan esok (menentang Britain) kita akan beraksi seperti hari ini dengan mengetepikan status ranking pasukan lawan yang jauh lebih baik (ranking No. 4 dunia)," katanya.

Sementara itu, naib juara tahun lalu, Pakistan tidak menghadapi masalah untuk menumpaskan Argentina 4- 2 dalam perlawanan pembuka tirai kejohanan.


Thursday, 24 May 2012

HOKI PIALA SULTAN AZLAN SHAH 2012 ~ BUKA TIRAI : MALAYSIA VS KOREA



Skuad Malaysia (jersi putih) tewas kepada Pakistan dalam perlawanan persahabatan beberapa hari lalu menjelang Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah. Anak-anak buah Tai Beng Hai akan menentang Korea Selatan dalam aksi pembuka tirai hari ini. - UTUSAN/Zulkarnain Mohd. Saidin

IPOH - Peristiwa pahit kecundang pada kelayakan Sukan Olimpik di Dublin, Mac lalu mahu ditebus barisan skuad hoki negara apabila membuka tirai Piala Sultan Azlan Shah 2012 menentang Korea Selatan di sini, malam ini.

Jurulatih, Tai Beng Hai berkata, itu adalah azam anak-anak buahnya yang akan berusaha mendapatkan mata pertama pada perlawanan tersebut.

Sebelum ini, Korea Selatan meranapkan impian Malaysia untuk ke Sukan Olimpik London, 2012 apabila menundukkan skuad bimbingan Beng Hai 3-2 pada perlawanan kelayakan di Dublin.

"Walaupun Korea berada pada ranking yang lebih tinggi berbanding Malaysia tetapi prestasi kedua-dua pasukan seimbang," kata Beng Hai.

Berdasar catatan terbaru Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Korea berada di ranking keenam dunia dan Malaysia berada di tangga 13.

Malah, Beng Hai percaya pemain yang ada mampu memberi cabaran sengit kepada pasukan lawan jika mereka beraksi dengan lebih berhati-hati dan bersemangat
.
Beng Hai yang dibantu oleh Nor Saiful Zaini akan menggandingkan pemain remaja dan senior dalam usaha membentuk pasukan yang mantap.

Kejohanan edisi ke-21 itu akan disertai oleh tujuh negara iaitu New Zealand, Pakistan, Argentina, India, Korea, Great Britain dan Malaysia.

Selepas itu, enam buah negara tersebut kecuali Malaysia akan beraksi pada Sukan Olimpik 2012, 27 Julai ini.