Thursday 24 May 2012

HOKI PIALA SULTAN AZLAN SHAH 2012 ~ BUKA TIRAI : MALAYSIA VS KOREA



Skuad Malaysia (jersi putih) tewas kepada Pakistan dalam perlawanan persahabatan beberapa hari lalu menjelang Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah. Anak-anak buah Tai Beng Hai akan menentang Korea Selatan dalam aksi pembuka tirai hari ini. - UTUSAN/Zulkarnain Mohd. Saidin

IPOH - Peristiwa pahit kecundang pada kelayakan Sukan Olimpik di Dublin, Mac lalu mahu ditebus barisan skuad hoki negara apabila membuka tirai Piala Sultan Azlan Shah 2012 menentang Korea Selatan di sini, malam ini.

Jurulatih, Tai Beng Hai berkata, itu adalah azam anak-anak buahnya yang akan berusaha mendapatkan mata pertama pada perlawanan tersebut.

Sebelum ini, Korea Selatan meranapkan impian Malaysia untuk ke Sukan Olimpik London, 2012 apabila menundukkan skuad bimbingan Beng Hai 3-2 pada perlawanan kelayakan di Dublin.

"Walaupun Korea berada pada ranking yang lebih tinggi berbanding Malaysia tetapi prestasi kedua-dua pasukan seimbang," kata Beng Hai.

Berdasar catatan terbaru Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Korea berada di ranking keenam dunia dan Malaysia berada di tangga 13.

Malah, Beng Hai percaya pemain yang ada mampu memberi cabaran sengit kepada pasukan lawan jika mereka beraksi dengan lebih berhati-hati dan bersemangat
.
Beng Hai yang dibantu oleh Nor Saiful Zaini akan menggandingkan pemain remaja dan senior dalam usaha membentuk pasukan yang mantap.

Kejohanan edisi ke-21 itu akan disertai oleh tujuh negara iaitu New Zealand, Pakistan, Argentina, India, Korea, Great Britain dan Malaysia.

Selepas itu, enam buah negara tersebut kecuali Malaysia akan beraksi pada Sukan Olimpik 2012, 27 Julai ini.

1 comment:

Anonymous said...

Keputusan perlawanan malam tadi.. Malaysia draw dgn Korea... 1 - 1. Gol Malaysia dijaringkan oleh pemain hoki remaja... Faizal Shaari pada minit ke 56. Sekaligus menafikan hasrat Korea utk menumpaskan Malaysia di perlawanan pembukaan tu.