Saya sedang berada di ibu pejabat UMNO bersama dengan Prof Dr Hamidin, Azwan, Dato Halim dan Hanafiah apabila Dato Saarani menelefon saya bahawa YB Khusairi terkena serangan jantung.
Saarani sepatutnya bertemu dengan kami, tetapi setelah kami berbincang, dia terus berkejar ke Hospital Bentong. Ketika ini kami mendoakan Khusairi dapat diselamatkan.
Selama mengenali beliau, jarang sekali beliau tidak sihat. Malah dia seorang yang aktif bermain golf dan berkebun.
Pada hari Sabtu yang lalu ADUN UMNO mengadakan retreat di tempat beliau berkebun yang dinamakan Rimba Wangsa. Ia merupakan tempat inap yang sangat mempersonakan di kelilingi hutan dan alir anak sungai jeram yang cantik.
Khusairi menggunakan kepintaran dan kreativiti nya membina sebuah rumah tumpangan yang sederhana bentuknya tetapi menarik dengan dua aliran air di tengah rumah tersebut.
Rancangan retreat pada mulanya hendak ditangguhkan tetapi Khusairi bagaikan bersungguh-sungguh mahukan kami datang ke Rimba Wangsa itu.
Beliau amat ceria dan begitu gembira sekali melihat kehadiran kami. Hinggalah kami pulang, beliau masih setia menanti YB Saidi yang berjanji hendak datang juga di sebelah petang.
Sambil itu, YB Khusairi dan ahli exco YB Khairul Shahril sempat berendam dalam kolam air sungai yang diempang di celahan batu-batu. Gambar-gambar itu dikongsinya dalam whatsapp ADUN UMNO.
Sebelum saya pulang sekitar jam 2 petang, YB Khusairi mengajak saya ambil gambar bersama. Itulah rakaman gambar terakhir yang diambil bersama dengannya.
Semalam saya berkejar ke Hospital Bentong untuk melawatnya buat kali terakhir. Ketika DS Najib tiba untuk menziarahi jenazah, kami sempat menatap keadaannya. Wajahnya seperti orang yang sedang nyenyak tidur.
Selepas tamat majlis solat jenazah di masjid Daerah Bentong yang diimamkan oleh DS Ahmad Zahid Hamidi, sekali lagi wajahnya ditatapi oleh sekelian kami. Lalu deraian air mata saya dan lain-lain sahabatnya yang hadir tidak tertahan lagi.
Khusairi melalui jatuh bangun dalam politik sejak bermula dalam Pemuda UMNO sekembalinya dari Sabah.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Akhbar kerajaan Pairin Kitingan di Sabah setelah berkhidmat sebagai wartawan dengan beberapa akhbar.
Kehidupan di zaman Pemuda cukup mencabar buatnya. Beliau berusaha untuk membina keluarganya setelah tidak lagi berkhidmat di Sabah.
Saya, Khusairi, YB Tarmizi dan Zaili Cha adalah antara calon-calon dari Pemuda UMNO Perak yang diberikan peluang untuk bertanding dalam pilihanraya 2004.
Setelah empat penggal memegang jawatan ADUN, Khusairi penuh setia memberi sumbangan kepada rakyat dan negara. Meskipun adakala jiwanya diselubungi rasa jauh hati kerana tidak dinaikkan pangkat exco, namun beliau tidak lari meninggalkan parti untuk mendapat habuan yang lebih lumayan.
Saat kerajaan BN tidak dapat membentuk kerajaan pada tahun 2018, Khusairi adalah antara orang yang sangat tabah menghadapi saat yang sukar ketika itu. Beliau memeluk erat saya dengan linangan air mata dan berjanji setia untuk tetap bersama, meskipun 2 orang dari kami bertindak meninggalkan perjuangan ketika itu, dan janji membentuk kerajaan bersama PAS tidak tercapai.
Dalam pembentukan semula kerajaan Perak melalui PN baru-baru ini sekali lagi namanya tercicir meskipun sudah dikemukakan oleh pihak parti.
Namun beliau tabah sambil mengenangkan nasibnya yang sudah 4 penggal menjadi ADUN. Kepada saya beliau curahkan perasaannya.
Dia merasakan seperti dipermainkan oleh seseorang, namun baginya kesetiaan kepada perjuangan parti lebih utama.
Kenangan paling besar bersama YB Khusairi ialah ketika kami menjadi buruan tangkapan ISA regim Mahathir ketika peristiwa pemecatan TPM 1998. Ketika itu saya adalah Ketua Pemuda UMNO Lumut dan Khusairi KP Tg Malim.
Malam itu adalah malam penutup Sukan Komonwel. Saya, Khusairi, Hamdan Taha (KP Tlk Intan) dan Hasnan (KP Kota Bharu) menikmati makan malam di Kelana Seafood, Kelana Jaya. Selepas makan kami mengsyaki ada orang sedang mengekori kami.
Itulah malam tangkapan ISA terhadap saya. Khusairi dan Hamdan berjaya meloloskan diri. Dan ia membawa saya merengkok dalam bilik kurungan kecil ( solitary confinement) untuk beberapa ketika.
Sebagai seorang yang pernah berkhidmat dalam bidang kewartawanan, Khusairi merupakan seorang penulis yang prolifik. Bakat beliau sebagai penulis sangat terserlah. Beliau adalah penulis buku 100 Tahun Bagan Datok.
Bagan Datok adalah kampung asalnya sebelum keluarganya berpindah ke Felda Sungai Behrang sebagai peneroka awal.
Beliau cukup aktif dalam dunia sosial media. Adakalanya beliau tolong membuat hantaran beberapa tulisan saya dalam FB.
Tiba-tiba semalam adalah hari terakhir buatnya dalam mengecapi kehidupan di dunia yang fana ini.
Suaranya yang berani berhujah dalam Dewan sudah tidak akan kedengaran lagi. Hantaran-hantaran sosial media dari nya juga terhenti sudah. Pesanan-pesanan dalam whatsapp nya sudah tidak kelihatan lagi.
Buat keluarganya, isteri dan anak cucunya, tentunya dapat merasai kehilangan seorang insan yang selama ini menjadi tonggak utama keluarga. Hanya termampu dari kami mengucapkan takziah dan sabarlah menghadapi saat sukar ini.
Hari ini engkau disemadikan buat selamanya sahabatku. Doaku agar perjalanan engkau ke alam barzakh ini diiringi oleh wangian amal dan kasturi taqwa.
Ya Allah, jadikan pusaranya nya sebagai taman syurga, bukan taman azab sengsara. Kiranya terpalit khilaf sepanjang hidupnya, maka ampuni lah dia. Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih, Maha Pengampun.
Kullu bani Adam khatta’, wa khair khatta’in al-tawwabun
( setiap anak Adam melakukan dosa, maka sebaik mereka yang berbuat dosa itu ialah yang bertaubat)
( Ibn Majah 4392)
Ya Allah, berikanlah kepada dia timbangan amal kebaikan lebih daripada timbangan keburukan. Sepanjang hidupnya berbakti, berusaha dengan kebaikan, dan memberi khidmat yang terdaya. Moga dihisab amalnya itu dengan janji jannah Mu Ya Allah.
Selamat tinggal sahabatku Khusairi.
Inna Lillah wa inna ilayhi raji’un
Dr Zambry Abd Kadir
16hb Julai 2020
No comments:
Post a Comment