Tuesday, 7 July 2020

DI MANA BENTENG UMNO ???


Tahukah anda mengapa UMNO berjaya ditumbangkan pada PRU14 yang lalu?

Ini jawapan straight forward dari saya. Kerana benteng UMNO rapuh.

Anda mahu tahu di mana atau siapa benteng UMNO?

Benteng UMNO adalah barisan Angkatan Pemuda UMNO. Terajunya ialah Ketua Pemuda.

Ya, ketika Khairy Jamaluddin atau KJ menerajui benteng ini, beliau gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan berkesan. Malahan lebih malang lagi, beliau menikam UMNO dari belakang. Sudahnya, UMNO tersungkur.

Ketika itu BN, terutamanya UMNO teruk difitnah. Perlakuan para pemimpin UMNO juga dipandang hina. Tapi sayangnya segala tomahan, hinaan, persepsi buruk dan fitnah tidak langsung ditepis. Pemuda gagal menanganinya.

Kini teraju benteng UMNO disandang oleh Datuk Dr Asyraf Wajdi. Apakah anda fikir bahawa benteng ini kembali kukuh?

Tidak. Bagi aku, benteng UMNO masih longgar dan tidak cukup kebal. Kita sudah nampak kelemahannya. Malahan sangat rapuh. Kita dapat lihat bahawa betapa mudahnya mereka dari PPBM membolosi UMNO.

Kita perlukan seorang pemimpin yang berkarektor. Dahulu kita ada Datuk Harun Idris yang sangat agresif. Syed Jaafar Albar pula pernah digelar Singa UMNO, umpama Saidina Ali Abu Talib. Beliau digeruni Lee Kwan Yew. DS Najib ketika sebagai Ketua Pemuda menunjukkan taat setianya pada Presiden sehinggakan Team Anwar tumbang. Malahan DS Anwar Ibrahim yang juga pernah memegang jawatan Ketua Pemuda punya karektor yang luar biasa. Mereka digeruni. Seluruh ahli mahupun pemimpin akan ternanti-nanti ucapan-ucapan dari mereka. Kata-kata mereka mampu membakar semangat dan juga mampu membina kekuatan pada UMNO.

Apabila bercakap tentang PEMUDA, bayangan kita ialah barisan yang KENTAL, VOCAL, BERANI, TEGAS dan LANTANG. Tapi sayangnya identiti seperti itu sudah hilang. PEMUDA kini tampak lesu dan kurang bermaya.

Barisan Pemuda kelihatan hanya berdiam diri. Malahan ada yang bagaikan menghamparkan karpet merah kepada TS Muhyiddin Yassin untuk mengepalai MN.

Di manakah ‘kejantanan’ Pemuda UMNO sehingga membiarkan UMNO dilanggar begitu sahaja. Apakah kepimpinan Pemuda ini lebih memikirkan kelangsungan politik masing-masing sehingga masa depan dan maruah parti UMNO tergadai?

Pemuda perlu tampak relevan terutamanya di ketika UMNO berhadapan dengan kancah politik masakini. Saya sangat berharap agar Ketua Pemuda boleh mencontohi DS Najib Tun Razak. DS Najib berjaya memenangi hati rakyat.

Lihatlah bagaimana beliau bergerak. DS Najib mampu berdiri setelah disungkurkan. Sokongan yang beliau perolehi kini lebih baik dari ketika beliau berjawatan PM. Sokongan seperti itu seharusnya juga ada pada Ketua Pemuda. Sebenarnya mengembalikan keyakinan terhadap UMNO yang dilakukan oleh DSN adalah tanggungjawab jentera Pemuda.

Untuk berjaya sebagaimana yang dicapai oleh DS Najib bukan mudah. Najib meletakkan dirinya di tahap akar umbi. Beliau turun ke bawah. Mendekati semua. Beliau mendengar dan menyelami hati nurani rakyat. Rakyat merasa senang dengannya. Rakyat merinduinya. Rakyat sayangi dia.

Dalam pertempuran, Ketua Pemuda adalah Panglima. Beliau perlu pertahankan pemimpinnya. Bukan berbolak balik dengan agenda sendiri atau berpuak-puak. Tak kira siapa Presiden UMNO, beliau perlu mempertahankannya. Itu adalah tanggungjawab utamanya. Beliau perlu ingat, jika beliau gagal mempertahankan Ketua, kelak kedudukan beliau juga pasti tergugat.

Ingatlah DS Zahid ditumbangkan sebagai Ketua Pemuda kerana beliau membahankan Presiden UMNO ketika itu dan cenderung kepada Anwar. KJ juga tersungkur kerana membelakangi DS Najib.

Asyraf perlu bersyukur kerana kebetulan ada kekosongan jawatan Ketua Pemuda. Katanya pada saya, “Ada hikmah kepada apa yang berlaku dalam UMNO “.

Ya, memang hikmah kepadanya kerana beliau berpeluang menyambar jawatan tersebut ketika UMNO terumbang ambing. Isunya, apakah beliau mampu menjadi pemimpin yang vocal dan digeruni?

Setakat ini belum.

RAJA ANNUAR ADNAN
6 Julai 2020

https://youtu.be/NXhnj88S270

No comments: