Monday 26 February 2018

AHLI PPBM LARUT KELUAR PARTI KECEWA TIDAK DIENDAHKAN OLEH PENGERUSI NEGERI


BATU KURAU – Ahli-ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Larut kini hilang keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi parti itu di Perak terutamanya Pengerusi PPBM negeri, Ahmad Faizal Azumu yang didakwa tidak mengambil berat mengenai permasalahan ahli di peringkat akar umbi.

Ahli Jawatankuasa PPBM Larut, Baharum Mohd. Radzi berkata, tiada sebarang respon daripada pihak atasan parti negeri mengenai permasalahan akar umbi termasuk di Bahagian Larut termasuk berkaitan pengagihan dana walaupun telah dibangkitkan kepada pimpinan parti itu sejak sebulan lalu.
“Apa yang menyedihkan, Ahmad Faizal mempersoalkan perkara yang dibangkitkan saya, malah dia sendiri tidak pernah turun padang berbincang permasalahan ahli di peringkat akar umbi melainkan hanya sekali iaitu pada September lalu bersama Penasihat PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Cuma sekali sahaja Ahmad Faizal turun ke Larut semenjak jawatankuasa di Larut ditubuhkan sejak setahun lalu. Pemimpin sebeginikah yang kita mahukan?” katanya pada sidang akhbar di rumahnya di Kampung Repoh di sini hari ini.
Tambah Baharum, ahli-ahli parti terpaksa menggunakan wang sendiri bagi melaksanakan program dan kempen parti ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bakal menjelang tiba bila-bila masa sahaja.
“Ahmad Faizal turut menyebabkan hampir semua bahagian di Perak berpecah-belah termasuk di Parlimen Beruas manakala di Kuala Kangsar dan Bagan Datuk yang sehingga kini masih tidak mempunyai jawatankuasa parti.
“Apa yang lebih malang, Ahmad Faizal sendiri tidak yakin untuk bertanding di bahagiannya sendiri,” jelasnya.
Akhbar 10 Februari lalu melaporkan, seramai 50 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Larut semalam bertindak keluar parti tersebut sekali gus mengumumkan menyertai UMNO atas beberapa alasan termasuk tidak lagi meyakini parti PPBM mampu memperjuangkan hak-hak rakyat khususnya bangsa Melayu selain hilang kepercayaan terhadap Ahmad Faizal sebagai pemimpin di Perak. – Kosmo!

No comments: