Sunday, 19 February 2017

RUU355 TAK AMBIL HAK AGAMA LAIN... KENAPA BUKAN ISLAM NAK HALANG ???


KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 tidak akan mengambil hak agama lain.  
 
Beliau berkata ia dibuat hanya bertujuan mengukuhkan institusi mahkamah syariah.
Jamil Khir sekali gus mempersoal mengapa banyak halangan perlu dilalui dalam usaha melaksanakannya kali ini.
“Mengapa terlalu sukar kita umat Islam untuk menegakkan (memperkasa) mahkamah syariah, sehingga terpaksa berhimpun dalam keadaan hujan lebat sebegini,” katanya ketika berucap pada Himpunan 355 di Padang Merbok di sini malam tadi.
Pada majlis yang dihadiri ribuan penyokong cadangan pindaan itu, beliau menarik perhatian bahawa laluan pindaan kepada Akta sama pada 1984 mudah dan tidak mendapat bantahan anggota Parlimen termasuk bukan Islam.
“Tetapi sekarang kita lihat ada wajah (individu) dan tulisan yang mempersoal pindaan ini dengan mendakwa ia merupakan jalan belakang untuk pelaksanaan hudud di negara ini,” kata Jamil Khir.
Beliau turut menyampaikan salam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada hadirin.
Himpunan 355 adalah bagi memberi penerangan kepada umat Islam mengenai cadangan pindaan terhadap Akta berkenaan.
Antara lain, cadangan pindaan itu membabitkan usaha mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan yang dilakukan orang Islam sahaja dan langsung tidak memberi kesan kepada golongan bukan Islam.
Pada 24 Nov tahun lepas, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul Rang Undang-undang Persendirian bernama Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.
Persidangan Dewan Rakyat dijadual bermula 7 Mac ini. – BERNAMA

Post a Comment