Friday 3 June 2016

32,949 LAYAK MENGUNDI DI PRK KUALA KANGSAR


Seramai 32,949 individu layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Kuala Kangsar. 


Menurut daftar rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat 7 Mei lalu, angka berkenaan merangkumi pengundi biasa iaitu 32,632 orang manakala pengundi awal dan pengundi tidak hadir masing-masing adalah 312 dan lima orang.


Pegawai Pengurus PRK Parlimen itu, Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria berkata, bagi pengundi biasa, seramai 15,334 pengundi biasa adalah dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Chandan dan 17,298 dari kawasan DUN Manong.
"Untuk DUN Bukit Chandan, seramai 292 pengundi awal dan bagi DUN Manong (20 pengundi awal)," katanya.


Beliau berkata sebanyak 26 pusat daerah mengundi sudah disediakan dengan 69 saluran. "Pusat daerah mengundi ditempatkan di 22 buah sekolah rendah dan menengah, dua dewan orang ramai dan dua Sekolah Agama Rakyat. 
Menurutnya, pengundian awal akan diadakan pada 14 Jun ini manakala pengeluaran pertama bagi kertas undi pos pada 8 Jun sementara pengeluaran kedua selewat-lewatnya 10 Jun.
“Undi pos ini perlu diserahkan kepada pengurus SPR selewat-lewatnya pada jam 5 petang pada hari mengundi (18 Jun)," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pengundi supaya keluar awal mengundi bagi mengelakkan kesesakan berlaku.
PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu. 

No comments: