Tuesday 5 April 2016

FERI PENUMPANG SEDANG DIBAIKI TERBAKAR DI JETI KUAH LANGKAWI


LANGKAWI, 5 April — Sebuah lagi feri penumpang yang sedang dibaiki terbakar di sini hari ini menjadikan dua feri ditimpa nasib yang sama dalam tempoh kurang daripada sebulan.

Dalam kejadian terbaru pada kira-kira pukul 10 pagi ini, feri Coral Island 1 yang sedang dibaiki di Jeti Pelancongan di sini mengalami kerosakan di bahagian dek tengah dan bilik kaptennya selepas dijilat api.

Pegawai Bomba Tinggi Mohd Zabidi Che Teh yang mengetuai operasi melawan kebakaran itu berkata tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
Katanya 18 anggota Bomba dan Penyelamat mengambil masa kira-kira 45 minit untuk memadamkan api berkenaan.

“Siasatan awal kita mendapati, kebakaran itu bermula di bahagian dek tengah feri itu sebelum merebak ke bilik kapten. Punca kebakaran dan kerugian masih lagi dalam siasatan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Beliau mengesahkan sebelum kejadian ini, sebuah lagi feri telah terbakar semasa dibaiki di Limbungan Boustead, Tanjung Lembong di sini pada 23 Mac lepas.

Walaupun tiada kecederaan dilaporkan dalam kedua-dua kejadian itu, beliau berharap pihak yang terlibat dalam kerja-kerja pembaikan untuk meningkatkan lagi langkah-langkah keselamatan kebakaran khususnya semasa cuaca panas ini bagi mengelakkan kejadian sedemikian berulang.  — Bernama

No comments: