Wednesday 17 February 2016

JARINGAN 'BANANA SHOT' FAIZ SUBRI LAYAK MENANG ANUGERAH PUSKAS ???

faizsubri

KUALA LUMPUR: Jaringan pemain Pulau Pinang, Faiz Subri berjaya mencuri tumpuan dunia apabila sepakan percumanya melencong dengan unik sebelum menerjah masuk menewaskan penjaga gol Pahang, Nasril Nourdin pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, malam tadi.


Nyata jaringan kedua pemain tengah itu pada minit ke-62 disifatkan sebagai jaringan berkelas dunia dengan video klipnya dikongsi dan menjadi viral di laman sosial di serata dunia, termasuklah mengisi ruangan sukan di beberapa laman sesawang media antarabangsa.

Malah, kehangatan jaringan cantik Faiz itu sedikit menenggelamkan kehebatan gol Luis Suarez yang dijaringkan selepas Lionel Messi membuat hantaran daripada sepakan penalti pada aksi La Liga, hujung minggu lalu.


Laman web Mirror Online contohnya, menggambarkan jaringan Faiz Subri itu sebagai detik menakjubkan dalam sukan bola sepak dan menyatakan jaringan terbabit tidak ubah seperti jaringan yang dilakukan legenda bola sepak Brazil, Roberto Carlos ketika menentang Perancis pada 1997.

Malah, laman sesawang itu turut menyatakan sepakan percuma yang lebih dikenali dengan gelaran ‘banana shot’ itu juga tidak lagi menjadi hak eksklusif Carlos memandangkan ada pemain dari Malaysia yang mampu mencipta jaringan seunik itu.

Sementara itu, satu lagi laman sesawang iaitu Independent menyifatkan sepakan percuma yang dihasilkan pemain berusia 29 tahun itu layak dicalonkan untuk memenangi Anugerah Puskas iaitu anugerah yang diberikan kepada jaringan gol yang tercantik.

Katanya, gol terbabit mampu menjadi pencabar dalam anugerah Puskas kerana ia bukan sahaja unik sehingga mengelirukan penjaga gol, malah ia turut dilihat ‘melanggar’ hukum fizik.

Pada aksi terbabit, pasukan Harimau Kumbang itu mudah menundukkan pasukan Tok Gajah dengan keputusan 4-1.-BH.

No comments: