Friday 23 October 2015

SULTAN SELANGOR TARIK BALIK GELARAN 'DATUK SERI' DR. MOHD KHIR TOYO


UMPAMA kata pepatah.... Sudah Jatuh Ditimpa Tangga....
Susulan hukuman penjara 12 bulan selepas disabitkan bersalah kerana menyalahgunakan kuasa pada 2007, gelaran Datuk Seri yang dikurniakan kepada Dr Mohd Khir Toyo ditarik balik dan dibatalkan berkuatkuasa 30 September.
Setiausaha kerajaan negeri merangkap pendaftar kerajaan negeri Selangor Datuk Khusrin Munawi berkata, ia diputuskan setelah perundingan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dengan Dewan di-Raja Selangor.
"Keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) Kelas Pertama pada 2001 kepada Dr Khir ditarik balik berkuatkuasa 30 September 2015," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Gelaran Dr Khir itu sebelum ini digantung Sultan Selangor pada Januari 2011 selepas didakwa pada 6 Disember, 2010 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan atas kesalahan menerima rasuah dalam bentuk dua plot tanah di Seksyen 7, Shah Alam pada harga diskaun yang besar daripada Shamsuddin Haryoni.
"Memandangkan Dr Khir didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman atas kesalahan yang dipertuduhkan maka beliau tidak lagi layak dan sesuai untuk memegang darjah kebesaran ini," kata Khusrin.
Justeru, dengan keputusan Sultan Selangor itu, Dr Khir dilarang menggunakan gelaran tersebut, begitu juga pihak lain dilarang memanggil beliau dengan gelaran berkenaan.
"Ia selaras dengan kuasa Baginda di bawah Perkara XXXlX Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan Statut Darjah Kebesaran berkenaan."
Khusrin berkata, Sultan Selangor turut memandang berat tentang reputasi penerima gelaran, terutama di kalangan pemimpin negara.
"Penerima darjah kebesaran negeri Selangor seharusnya tidak terlibat dalam kesalahan jenayah demi melindungi martabat darjah kebesaran yang dipakai di samping memelihara status penerimanya," katanya. – 23 Oktober, 2015. TMI

No comments: