Friday 23 October 2015

JAKIM TARIK BALIK SIJIL HALAL ROTI JENAMA SWEETIE

roti sweetie

PUTRAJAYA 22 Okt. – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan menarik balik sijil pengesahan halal bagi roti jenama Sweetie keluaran syarikat Today Bakeries Products (Klang) Sdn. Bhd. sejak dua bulan lalu.


Bagaimanapun, menurut Penolong Pengarah Unit Penyelarasan Isu Sosial Bahagian Hab Halal Jakim, Marzita Ibrahim, penarikan semula sijil halal tersebut hanya melibatkan produk yang dihasilkan di kilang milik syarikat itu di Klang.

“Jumlah keseluruhan kilang di bawah syarikat tersebut ialah sebanyak lima buah di seluruh negara namun, hanya produk dihasilkan di kilang di Klang sahaja ditarik balik sijil halal kerana berlaku isu pelanggaran manual dan standard Pensijilan Halal Malaysia melibatkan kesalahan-kesalahan kebersihan.

“Kita telah menarik balik sijil ini sejak 13 Ogos lalu selepas satu serbuan dilakukan oleh Kementerian Kesihatan di kilang berkenaan dan hanya kilang itu sahaja yang dikenakan tindakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas penyebaran secara meluas di media sosial mengenai penarikan balik sijil halal kelua­ran syarikat terbabit terutamanya roti jenama Sweetie di pasaran. Sehubungan itu, Marzita berkata, pihaknya memberi tempoh masa selama tiga bulan bagi syarikat tersebut untuk membuat permohonan semula sijil halal daripada Jakim.

Pada masa sama, kata beliau, pihaknya juga akan menunggu terlebih dahulu keputusan Kementerian Kesihatan mengenai tahap kebersihan kilang tersebut sebelum membuat keputusan lanjut.

Dalam pada itu, katanya, bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai berhubung status halal produk keluaran syarikat tersebut melibatkan kilang lain, pihaknya mengarahkan syarikat berkenaan memohon sijil halal secara berasingan. – Utusan.

No comments: