Thursday 4 June 2015

ERRA FAZIRA BERUBAH.... BERTUDUNG LITUP


ALOR SETAR - Sejak akhir-akhir ini nama diva popular negara, Erra Fazira tiba-tiba "meletop" menjadi topik hangat para peminat hiburan tempatan apabila tampil berimej bertudung pada minggu-minggu akhir pertandingan Kilauan Emas musim ke-5.

Perubahan tersebut sedikit sebanyak telah menimbulkan persoalan dari ramai peminat mengenai imej baru bekas Ratu Cantik Malaysia/Dunia 1992 itu yang seolah-olah kepingin mengikuti jejak langkah rakan selebriti lain yang telah berhijrah ke arah imej muslimah yang menutup aurat.

Spekulasi bertambah kencang lagi apabila Erra Fazira baru-baru ini meluahkan impiannya menerusi sebuah akhbar tempatan untuk berhijab penuh suatu hari nanti.

Dan hari ini, sekeping gambar menunjukkan Erra Fazira cantik bertudung litup bersama rakannya muncul menjadi viral di media sosial.

Menerusi kapsyen di gambar tersebut, sahabatnya meluahkan rasa syukur mengenai penghijrahan selebriti jelita ini yang dikatakan sudah bertudung litup.


"Alhamdulillah! Looking pretty as always. Semoga penghijrahan ini membawa keberkatan. Doakan kami sekali," tulis salah seorang sahabat Erra Fazira.

Kenyataan rakan karib Erra Fazira itu telah menarik perhatian ramai peminat hiburan dan pengamal media yang nyata terkejut bercampur gembira memuji-muji penghijrahan primadona terkenal itu ke arah positif.

Jika benar perkhabaran yang disampaikan ini, Kedahnews.com doakan semoga Erra Fazira terus beristiqamah dengan penghijrahannya dan agar dia terus mencari keredhaan hidup sebagai seorang muslimah dari-Nya, insha Allah. - Kedahnews.com

No comments: