Wednesday, 25 March 2015

GERMANWINGS TERHEMPAS : TIADA MANGSA DISYAKI TERSELAMAT


SEYNE-LES-ALPES, France: Presiden Perancis, Francois Hollande menegaskan tiada seorang pun yang terselamat dalam nahas pesawat Germanwings yang terhempas di selatan Perancis, petang Selasa.


"Keadaan nahas yang masih belum diketahui menyebabkan kita mengandaikan bahawa tiada siapa yang terselamat," kata Hollande.

Germanwings mengesahkan pesawat 4U9525 dari Barcelona ke Duesseldorf yang membawa 144 penumpang dan enam anak kapal terhempas di Pergunungan Alps Perancis.

Pegawai berkata pesawat tersebut mengeluarkan isyarat kecemasan pada pukul 0947 waktu tempatan, kira-kira 52 minit selepas berlepas. 

Ia adalah kemalangan pesawat Airbus pertama di Perancis sejak tragedi Concorde di Paris kira-kira 15 tahun lalu.

Sementara itu, pemilik sebuah tapak perkhemahan di kawasan pergunungan itu berkata dia terdengar bunyi sangat kuat agak lama di udara sebelum pesawat Germanwings itu terhempas.

Pierre Polizzi berkata dia terdengar bunyi kuat itu pada pukul 11.30 pagi (waktu Perancis).

"Memang biasa ada pesawat pejuang yang terbang di kawasan ini, jadi saya sangka pesawat itulah. Namun apabila tengok di luar, saya tidak nampak sebarang pesawat pejuang.

"Bunyi yang saya dengar agak lama, seperti pesawat itu terbang lebih perlahan daripada kelajuan pesawat tentera. Selepas terhenti seketika, tidak lama kemudian terdengar lagi bunyi bising," katanya.

Polizzi berkata, memang sukar untuk ke tempat nahas kerana kawasan pergunungan itu diliputi salji dan sangat mencabar. -Mstar/24/3/15

1 comment:

IBU RISKA said...
This comment has been removed by a blog administrator.