Tuesday, 27 January 2015

MAHKAMAH BENARKAN TV3 MOHON RAYUAN FITNAH WWW 1


KUALA LUMPUR 27 Jan - Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan Sistem Televisyen Malaysia Bhd. (TV3) untuk mendapatkan kebenaran merayu melibatkan saman fitnah oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung isu nombor pendaftaran WWW1 milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, tiga tahun lalu.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam, Liew Teck Huat bagi pihak TV3.

Sementara itu, mahkamah yang sama menangguhkan kepada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian, permohonan Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) untuk mendapatkan kebenaran merayu melibatkan isu sama sementara menunggu permohonan TV3 diputuskan terlebih dahulu.

UMMB diwakili peguam, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.

Pada 6 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan UMMB terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan ia membayar ganti rugi RM250,000 kepada Mohammad Nizar berhubung artikel memfitnah yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia.

Sementara itu, pada 25 Februari tahun lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan TV3 memfitnah Mohammad Nizar selepas membenarkan rayuan beliau.

Post a Comment