Monday, 15 December 2014

THT JUARA LIGA HOKI MALAYSIA 2014



MENYAKSIKAN live perlawanan final MHL 2014 petang semalam, terus terang, admin tidak menyokong mana-mana pihak.  Meminati kedua-dua pasukan... siapapun juaranya admin memang respek kerana aksi-aksi mereka sangat mengujakan... Tahniah kepada Terengganu Hockey Team (THT) kerana menjadi juara berganda....



JUARA Liga Hoki Malaysia (MHL) 2014, pasukan Terengganu Hockey Team (THT) menutup tirai musim ini dengan penuh bergaya selepas muncul juara Piala TNB.

Pada aksi final penuh dramatik di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini, THT kendalian Sarjit Singh meraih kemenangan tipis 2-1 ke atas Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pada penentuan pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada masa penuh perlawanan.


Kejayaan itu membolehkan THT membawa pulang wang tunai RM70,000 dan Piala TNB yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Terengganu Datuk Rozi Mamat kepada kapten THT, Mohd Shahrun Nabil Abdullah manakala KLHC meraih RM50,000 selaku naib juara.

Lebih manis, tiga pemain THT iaitu pasangan adik-beradik Mohd Fitri dan Faizal Saari masing-masing dinobat selaku pemain terbaik perlawanan akhir dan penjaring gol terbanyak dengan 17 gol selain Mohd Hafizuddin Othman yang dipilih selaku penjaga gol terbaik.

Ketiga-tiga mereka menerima wang tunai RM2,000 setiap seorang.

Pada aksi hari ini, pasukan THT menguasai babak awal perlawanan dan hanya memerlukan 6 minit untuk membuka tirai jaringan hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan bekas penyerang negara, Faizal Saari.

Adik Faizal, Mohd Fitri menambah duka untuk KLHC, selang 3 minit kemudian menerusi jaringan sama sebelum Faizal melakar gol peribadi kedua pada minit  ke-31 menerusi jaringan padang dan keputusan tersebut kekal sehingga berakhirnya babak pertama perlawanan.

Bersambung separuh masa kedua, THT kembali menggandakan asakan bagi menambah jaringan namun sebaliknya yang berlaku apabila KLHC kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu berjaya merapatkan jurang jaringan menerusi pakar pukulan sudut
penalti negara, Muhammad Razie Abdul Rahim pada minit ke-51.

Kapten KLHC itu terus meledak gol kedua menerusi jaringan sama, selang 4 minit kemudian sebelum Mohd Syamim Yusof menjaringkan gol ketiga KLHC pada minit ke-59 bagi mengheret perlawanan ke penentuan pukulan penalti.

Penjaga gol THT, Mohd Hafizuddin Othman muncul wira pasukan Pantai Timur itu selepas menyelamatkan pukulan kelima oleh pemain import KLHC dari Pakistan, Waseem Ahmad, sekali gus merampas kejuaraan daripada KLHC. 

Sarjit yang ditemui pemberita selepas perlawanan tersebut, nyata gembira dengan keputusan tersebut sambil memuji semangat juang tinggi yang dipamerkan para pemain walaupun tertekan selepas terikat 3-3 pada penghujung babak perlawanan.

“Saya juga patut berikan pujian kepada KLHC yang pamerkan semangat juang tinggi sehingga berjaya menyamakan kedudukan dan pasukan kita agak bernasib baik kerana mereka tidak menjaringkan lebih banyak gol,” kata bekas pengendali skuad senior kebangsaan itu.

Berkongsi nada yang sama adalah Mohd Shahrun Nabil yang menyifatkan kejayaan tersebut disebabkan oleh semangat bekerjasama yang ditampilkan oleh rakan sepasukan pada perlawanan tersebut.

“Syukur Alhamdulillah kerana kita berjaya meraih kejuaraan berganda. Ini semua hasil kerja keras rakan sepasukan,” katanya.

TNB pula sekadar berpuas hati di tempat ketiga apabila membenam Maybank 4-2 menerusi penentuan pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa penuh perlawanan.

TNB terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi Muhamad Amin Rahim hasil pukulan sudut penalti sebelum Jiwa Mohan menyamakan kedudukan untuk Maybank pada minit ke-43 menerusi jaringan yang sama.

Mereka meraih wang tunai RM40,000 selaku pemenang tempat ketiga manakala Maybank membawa pulang wang tunai 30,000 selepas menduduki tangga keempat.


Keputusan penuh saingan Liga Hoki Malaysia (TNB-MHL) 2014 :
Liga TNB-MHL:
Juara – THT
Naib Juara  – KLHC
Tempat Ketiga – TNB
Liga Premier TNB-MHL (Divisyen 1):
Juara – Sapura HC
Naib Juara – TNB Thunderbolts
Tempat Ketiga – UniKL Young Guns
Piala TNB:
Juara – THT
Naib Juara – KLHC
Tempat Ketiga – TNB
Pemain terbaik perlawanan akhir: Mohd Fitri Saari (THT)
Penjaring Terbanyak: Faizal Saari (THT)
Anugerah Fairplay: Universiti Kuala Lumpur (UniKL)
Penjaga gol terbaik: Mohd Hafizuddin Othman (THT)
Pemain terbaik kejohanan :Faiz Helmi Jali (TNB)

- Bernama

Post a Comment