Monday, 8 December 2014

SAMSENG MYANMAR MENGAKU BUNUH, PENGGAL KEPALA DAN KERAT MAYAT RAKAN SENEGARA DI BUKIT MERTAJAM


Polis mendapat beberapa petunjuk baharu bagi membantu siasatan berhubung beberapa kes bunuh dan mengerat anggota badan rakyat Myanmar yang dipercayai dilakukan rakyat negara itu sendiri, kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi.

Beliau berkata dengan petunjuk baharu yang diperoleh hasil soal siasat terhadap 17 lelaki Myanmar yang ditahan, polis mendapat lokasi badan seorang lelaki yang kepala, tangan dan kakinya ditemui di kawasan berasingan di Bukit Mertajam.

"Suspek mengaku membunuh sebelum memotong anggota badan dan membuangnya termasuk badan lelaki berkenaan ke dalam tali air di Jalan Kampung Permatang, Sungai Bakap dua minggu lepas.

"Setakat ini polis hanya menemui kepala, tangan dan kaki mangsa. Kemungkinan badan mangsa hanyut ke sungai atau laut," katanya di Pulau Pinang hari ini.

Pada 24 November lepas, satu bungkusan berisi kepala manusia ditemui di tiang berhampiran sebuah kedai makan di Taman Impian Ria, Bukit Mertajam dan pada Khamis pula, mayat tanpa kepala dan tangan yang disumbat dalam guni ditemui penduduk kampung dalam tali air di Sungai Bakap.

Terbaru pada Isnin lepas kepala dan tangan kiri dari lengan hingga tapak tangan ditemui dalam beg plastik berhampiran tong sampah di Machang Bubok.

Rahim turut memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kes pembunuhan itu bukan ancaman kepada ketenteraman dan keselamatan mayarakat setempat sebaliknya hanya membabitkan rakayat Myanmar.

Sementara itu, beliau berkata indeks jenayah Pulau Pinang menurun sebanyak 377 kes atau 4.8% dalam tempoh Januari hingga semalam berbanding 7,854 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata kejayaan menurunkan kadar jenayah itu adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk orang ramai yang menyalurkan maklumat kepada polis.

Post a Comment