Monday 22 December 2014

BENCANA BANJIR : PERSEMPADANAN SEMULA DITUNDA

image (1)

PUTRAJAYA – Notis Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang pada awalnya dirancang untuk diwartakan bulan ini, ditunda tahun depan berikutan banjir yang melanda beberapa negeri pada masa ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, notis berkenaan tidak dapat diwartakan bulan ini kerana pengundi di kawasan yang dilanda banjir akan menghadapi masalah untuk melihat notis tersebut yang dipamer di pejabat-pejabat SPR seluruh negara.

“Saya tengok sekarang ini banjir di beberapa tempat. Tindakan mewartakan notis Kajian Semula Persempadanan pada masa ini boleh mengakibatkan SPR dituduh sebagai tidak berlaku adil kepada pengundi yang menjadi mangsa banjir.

“Jadi SPR kena pilih tarikh yang sesuai untuk mewartakan notis itu. Bagaimanapun kenyataan media akan dikeluarkan berhubung perkara ini pada waktu yang sesuai,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Laporan Bernama bulan lalu menyebut SPR dijangka mewartakan notis Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dun menjelang akhir tahun ini.

Jelas Abdul Aziz, pada masa ini hanya Notis Kajian Semula Persempadanan bagi Negeri Sarawak yang sudah disiapkan dan akan dipamerkan kelak.

“SPR beri keutamaan kepada Sarawak kerana Sarawak telah meluluskan rang undang-undang untuk menambah jumlah anggota Dun,” katanya.

Bulan lepas media melaporkan Persidangan DUN Sarawak meluluskan rang undang-undang untuk menambah jumlah anggota Dun daripada 71 ketika ini sekali gus menjadikan keseluruhan 82 kerusi DUN bakal dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ditanya mengenai beberapa pihak yang menyuarakan rasa tidak puas hati dan pandangan kepada SPR berhubung kajian persempadan semula, beliau berkata, SPR melaksanakan proses persempadanan semula mengikut perlembagaan dan tidak berbuat sesuka hati.

“SPR juga tidak boleh mendengar cakap-cakap pihak tertentu,” katanya.

Kajian semula Persempadanan dilakukan sekurang-kurangnya lapan tahun sekali dan kali terakhir dibuat pada 2003.

Persempadanan semula merupakan satu daripada tanggungjawab utama SPR di bawah Perlembagaan bagi memastikan pengundi mudah mendapat perkhidmatan wakil rakyat masing-masing apabila sesebuah kawasan pilihan raya yang luas dikecilkan atau dipecah dua, seperti kawasan yang mempunyai pengundi lebih daripada 100,000 orang.

Sebelum mewartakan notis berkenaan, SPR perlu memaklumkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku ketua kerajaan, mengikut peraturan yang ditetapkan.

Apabila notis berkenaan diumumkan, maka bermulalah tempoh persempadanan semula dan notis itu akan dipamer selama sebulan (untuk menerima bantahan dan cadangan) daripada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan kumpulan pengundi berdaftar, sekurang-kurangnya 100 orang dalam bahagian pilihan raya terbabit.

Laporan akhir mengenai syor kajian semua persempadanan kawasan pilihan raya itu perlu diserahkan kepada Perdana Menteri dalam tempoh tidak lebih dua tahun daripada tarikh notis diumumkan, untuk dibentangkan di persidangan Dewan Rakyat untuk kelulusan selaras dengan Seksyen 8, Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan.

Laporan yang diluluskan oleh sidang Dewan Rakyat akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agung untuk ditandatangan sebelum diwartakan dan diguna pakai. – Bernama

No comments: