Friday, 14 November 2014

JAWAPAN MENGAPA ISLAM TIDAK MENGHORMATI NAFSU SEORANG PEREMPUAN YANG TERPERANGKAP DALAM JASAD LELAKI ???


SAYA ditanya, “Mengapa Islam tidak menghormati nafsu seorang perempuan yang terperangkap dalam jasad lelaki?”

Di sini saya ingin menjawab secara logikal. Maka, saya tanya balik, “Mengapa kamu tidak menghormati jasad lelaki yang terperangkap dalam genggaman nafsu perempuan itu?”


“Bahkan, kamu memaksa jasad lelaki itu untuk memakai baju perempuan dan mungkin kamu akan ‘kerat’ bahagian yang paling sensitif pada jasad itu, iaitu kemaluannya!”

Kita fikir tentang hak nafsu tetapi kita lupa bahawa jasad kita juga ada hak walaupun ia tidak mampu berbicara. Jasad kita pasti akan membalas dendam jika haknya terus dicabuli.

Demikian juga roh kita ada hak. Kalau roh kita rosak, kemanusiaan kita akan mati walaupun jasad dan nafsu masih hidup.

Mengapa bila diulang mantra ‘Hak Asasi Manusia’, hanya hak nafsu dibela. Bagaimana dengan hak jasad dan hak rohani? Mengapa selalu jasad dan rohani kita yang kena 'kerat', dan bukan nafsu kita yang perlu dididik dan dibentuk?

Isu transgender bukan sekadar isu legalisme. Ia adalah pencabulan hak asasi jasad dan rohani kita. Jasad lelaki berhak dihormati sebagai lelaki. Ini adalah hukum asal, paling asas.

Bila kita nampak seorang lelaki, kita terus hormatinya sebagai seorang lelaki walaupun kita tidak mengenalinya.

Kita tak fikir dia seorang perempuan. 

Islam begitu realistik sehingga mengiktiraf kewujudan khunsa, iaitu seorang individu yang dilahirkan dengan dua jantina.

Tetapi soal tukar jantina adalah satu pengecualian, tertakluk pada syarat-syarat. Ini adalah kerana hukum asal ialah seseorang yang berjasad lelaki berhak dihormati sebagai lelaki dan seseorang yang berjasad perempuan berhak dihormati sebagai perempuan.

Hak asasi manusia yang realistik iaitu seperti berikut:

“Seseorang yang berjasad lelaki berhak dihormati sebagai lelaki kecuali dibuktikan secara medikal tanpa keraguan yang munasabah bahawa dia adalah khunsa.”

Masalahnya, dunia sekarang tidak menganggap transgenderisme itu satu pengecualian. Hanya kerana 'aku suka' bertukar, bertukarlah aku. Aku suka menjadi wanita, maka bertukarlah aku. Aku suka dadah, maka bertukarlah aku. Ketagihan dadah terperangkap dalam jasad ku! Aku ingin bebas!

Jasad dan roh hanya menjadi khadam kepada nafsu AKU SUKA. Budaya transgenderisme makin menjadi budaya mainstream dan hukum asal, bukan pengecualian.

Saya juga ingin membangkitkan satu lagi persoalan. Mengapa media hanya memberi perhatian pada mak nyah? Media juga perlu tanya soalan, “Siapa boyfriendnya?”

Adakah boyfriendnya juga berpakaian perempuan? Tidak. Boyfriend mak nyah adalah teman 'lelaki', maka sudah pasti sentiasa menampilkan dirinya seolah-olah dia seorang 'lelaki' yang normal tetapi bernafsu pada mak nyah.

Siapakah mereka ini? Tidak mungkin mereka ini khunsa kerana alat kemaluan lelaki mereka berfungsi dengan mak nyah. Adakah dan mengapakah mereka ini tidak mempunyai nafsu pada wanita biasa walaupun mereka adalah 'lelaki'?

Saya terbayang senario di mana satu keluarga ingin mempunyai cucu. Tetapi satu-satunya anak lelaki mereka bernafsu pada mak nyah dan dia tertegas akan mengahwini mak nyah itu. Survival manusia bergantung kepada kesinambungan zuriat. K

alau anak lelaki itu setia pada 'isteri' seorang iaitu pada mak nyah tersebut, bukankah hak asasi keluarga untuk melanjutkan zuriat dicabuli?

Mungkin seseorang akan berhujah bahawa ada perempuan biasa yang mandul. Hujah saya ialah bila berkahwin dengan wanita biasa yang mandul, ia tidak melahirkan budaya anti-zuriat kerana masih mengekalkan hukum asal lelaki-perempuan.

Tetapi perkahwinan dengan maknyah adalah promosi budaya anti-hukum asal, maka anti-zuriat!

Juga, bagaimana penerimaan seorang wanita biasa jika mendapati bakal madunya adalah seorang 'bekas lelaki' yang berstatus mak nyah? Sudah pasti timbul persoalan dalam mindanya bahawa adakah suaminya mempunyai kecenderungan seks yang luar biasa?

Apa yang suaminya buat selama ini bila berdua-duaan dengan kawan-kawan lelakinya? Ada ramai pasangan homo seks yang menampilkan diri mereka sebagai 'lelaki' sejati dan perkasa!

Menyokong mak nyah sebagai budaya mainstream adalah meramaikan lagi boyfriend mereka. Sejauh manakah anda masih percaya pada 'lelaki' zaman sekarang?-SH

* Abdul Naser Abdul Rahman ialah tokoh pendakwah Perak

No comments: