Tuesday, 7 October 2014

ISTERI INGKAR SUAMI BERSIKAP SEAKAN FIRAUN TIDAK JATUH NUSYUZ


TIDAK JATUH NUSYUZ JIKA INGKAR SUAMI YANG SEAKAN FIRAUN.

Maafkan kami mungkin kali ini artikel ini sedikit pedas. Saban hari ada sahaja Si Isteri yang mengadu kepada RPWP untuk mendapatkan khidmat nasihat tentang masalah rumahtangga mereka. Kebanyakannya berkaitan dengan isu SUAMI yang tidak berfungsi seperti seorang suami. Telah Allah nukilkan dalam quran melalui kisah Musa bahawa ciri suami yang baik ialah KUAT BEKERJA & BOLEH DIPERCAYA. Ini pokok bicara hari ini.


Ramai isteri yang merasa tertekan dengan sikap suami yang pemalas, tetapi menghimpun berbagai-bagai hobi yang menghabiskan duit. Ini antara ciri suami yang dayus, iaitu menyuruh isteri keluar bekerja sedang mereka goyang kaki sambil menghabiskan hasil kerja isteri. Suami 24 jam melayani telefon pintar, ketagih dadah, juga game internet atau komputer. Tidak dilupakan suami yang diketahui berzina di sana-sini.

Banyak juga kisah tekanan terhadap isteri apabila terpaksa tinggal menumpang di rumah mertua (keluarga suami) bersama ipar duai. Suami pula adalah anak lelaki tunggal yang dimanjakan, langsung tidak memainkan peranan sebagai ketua keluarga yang tegas dan teguh. Ibu mertua pula sikit punya cerewet dan bersifat queen control. Peralatan dalam rumah tak boleh nak ubah sedikit pun. Sampai isteri tidak berpeluang untuk menunjukkan kreativiti sebagai isteri dan ibu kepada anak-anaknya.

Ada pula kisah suami pemalas yang tinggal bersama ibu bapa isteri. Makan minum semua ditanggung isteri dan ibubapa isteri. Sama juga dengan masalah melayan hobi yang berbagai-bagai dan semuanya memakan belanja besar. Sumber kewangan semua datang dari sang isteri. Nak loan itu dan ini untuk memenuhi hobi semuanya pakai nama isteri yang bekerja. Bila selisih faham sikit dah lari membawa diri balik rumah keluarga sendiri, meninggalkan isteri terkonteng-konteng di rumah.

Ramai isteri yang sedar akan kepincangan rumahtangga dan kurang pengisian ilmu agama untuk memperbaiki keadaan. Minta suami tunjuk ajar, suami pula tak faham satu apa. Solat dan puasa pun kadang-kadang sahaja. Nak minta izin belajar agama di masjid dan surau atau madrasah, suami tak benarkan pula. Akhirnya isteri duduk di rumah menghadapi segala masalah hidup sendirian. Anak pula semakin ramai dan membesar. Semuanya memerlukan ilmu dan bimbingan.

Membaca luahan mereka melalui telefon, Whatsapp, Telegram, email dan inbox sahaja kita sudah boleh menitiskan air mata. Boleh dibayangkan perasaan pengadu sewaktu menulis luahan itu kepada kami.

Yang paling penting mereka kata, jangan jawab macam ustaz biasa kerana kami sudah bosan dengan jawapan yang sama. Asyik-asyik suruh isteri bersabar macam isteri Fir'aun walaupun jiwa tertekan sepanjang hayat. Mereka kata jawapan itu semacam tidak dari Allah, tidak adil dan berat sebelah. Mereka mahu jawapan dari sudut agama yang hak dan praktikal.

PERLAKSANAAN RUKUN NIKAH SELEPAS NIKAH

Kadangkala orang kurang jelas yang rukun nikah yang 5 itu perlu berjalan di sepanjang perkahwinan itu berlaku. Jika 50 tahun umur perkahwinan itu maka 50 tahunlah rukun nikah itu harus dilaksanakan.

Lelaki harus terus-menerus berperanan seperti lelaki dan wanita berperanan sebagai wanita. Fungsi wali sebagai abal hakam, badan penasihat yang komprehensif juga harus sentiasa diwujudkan. Fungsi saksi yang hadir semasa akad ijab dan kabul sebagai kontrak yang mengikat tanpa tali itu juga harus sentiasa wujud dan aktif berfungsi memerhatikan perjalanan rumahtangga yang dibina itu.

LELAKI wajib bersifat qowwam ataupun berdiri serta berprinsip. Tanggungjawab utama suami ialah untuk mengambil alih peranan wali isterinya, memberikan didikan, kepimpinan dan nafkah zahir, menyara makan pakai serta tempat tinggal mengikut KEMAMPUAN suami. Jika Si Isteri dah kata akan terima suaminya seadanya, janganlah sebelum kahwin suami memandu Kelisa selepas kahwin terus demand nak pakai BMW.

Suami juga bertanggungjawab memenuhi nafkah batin kepada isteri. Orang kita selalu nampak nafkah batin ni tentang SEKS semata-mata. Padahal MENDIDIK serta membimbing isteri kepada ilmu-ilmu Allah agar isteri terbentuk untuk mampu berperanan sebagai isteri dan ibu yang baik juga merupakan bahagian nafkah batin yang penting. Tanpa kefahaman ilmu, isteri dan ibu tidak akan kuat memikul dan melaksanakan amanah. Itu juga jadi punca ketegangan.

BOLEHKAH SEORANG ISTERI INGKAR KEPADA SUAMINYA?

Dari permasalahan sikap suami di atas, ramai isteri yang tertekan. Ada yang seharian isteri berniaga atau bekerja di warung. Balik rumah nak kemas rumah dan melayani anak-anak. Suami pula seharian bertenggek di warung sana-sini, jumpa kawan melayan hobi. Duit asyik tahu mintak sahaja. Balik malam entah jam berapa nak minta isteri layan pula. Sedangkan awal pagi isteri nak bangun uruskan anak dan pergi kerja semula. Suami terus mendengkur dan bangun entah jam berapa.

Ada juga isteri yang sampai terisak-isak menangis kerana suami tak izinkan dia keluar menuntut ilmu. Seolah-olah suami yang samada jahil atau buat-buat jahil kerana tekanan nafsu itu takut dengan bayang sendiri. Kononnya bila isteri berilmu, maka akan ternampaklah segala kelemahan dan salah laku suami melalui pertimbangan ilmu itu.

Dalam situasi lain, ada isteri yang mengakui hidup terlalu bebas, termasuk melakukan seks bebas sebelum bernikah, malah pernah melakukan aktiviti tukar pasangan dengan rakan suaminya dengan izin suami. Tidak kurang isteri yang mengadu suaminya meniduri adik perempuannya, ada yang meniduri anak tiri bahkan anak gadis sendiri pun. Nak melapur tak tahu pada siapa dan demi maruah terpaksa dibiarkan sahaja… Nauzubillah…

Ada isteri yang sedar akan kesesatan diri dan mahu berubah namun dihalang oleh suaminya yang masih mahu hidup bebas. Nak pakai tudung pun tak diizinkan. Rambut diminta diwarnakan. Pakai seksi untuk melayan pelanggan suami. Malahan ada kes isteri penagih dadah yang mengadu DIPAKSA MELACUR oleh suami sendiri… Nauzubillah.

SOALANNYA BOLEHKAH ISTERI BERBOHONG, CONTOHNYA MENGATAKAN DUIT TAK ADA KETIKA SUAMI BEGINI MINTA DUIT? BOLEHKAH ISTERI BERBOHONG MENGATAKAN DIA SAKIT PINGGANG, PERUT DAN SEBAGAINYA SEBAGAI ALASAN UNTUK TIDAK MELAYANI NAFSU SUAMI DALAM SITUASI BEGINI?

Jawapan kami adalah BOLEH…!!!

Isteri hanya wajib patuh kepada suami selagi ia tidak lari dari kepentingan amar makruf, nahi mungkar. Seruan dan perintah Allah dan rasul mengatasi segala kuasa manusia di mukabumi ini, sekalipun ia suami atau ibu ayah kita sendiri.

PERIHAL NUSYUZ DAN ISTERI FIRAUN SEBAGAI CONTOH ISTERI TERBAIK

Isteri wajib taat kepada suaminya KECUALI apabila suaminya mula menjadi Firaun. Fir’aun itu BUKAN SEORANG INDIVIDU, tetapi adalah CIRI /SIKAP bagi individu. Sifat Fir’aun ialah sangat mengingkari tuhannya, berbuat sewenang-wenang, melampau batas, membunuh anak laki-laki dan membiar hidup anak perempuan.

Ini semua adalah ciri orang yang melawan ketetapan dan perintah tuhan sehingga nampak ia lebih besar dari tuhan. Suami seperti ini sudah hilang fungsi suami yang sepatut ditaati. Malah sikap suami seperti ini wajar diperangi dengan bijaksana. Jika atas sebab tertentu perkahwinan perlu diteruskan, maka siasah perang termasuk perjanjian khusus atau ‘bohong sunat’ wajar dilakukan.

Jika seorang suami tidak mampu mendidik isterinya, maka isterinya berhak untuk belajar sekalipun tanpa izin suaminya. Jika isteri minta izin, suami tidak berhak untuk menghalang isteri itu untuk menuntut ilmu yang suaminya sendiri tidak mampu berikan.

Memanglah secara verbal mereka tidak mengatakan diri mereka ialah TUHAN tetapi apabila mereka “merasa diri serba cukup”, maka sifat thogho dan takbur itulah sebenarnya sifat tuhan yang dirasakan oleh Firaun ini. Disebabkan itu mereka melampaui batas.

Nusyuz jika seorang isteri membantah perintah suaminya. Namun tidak pula jatuh nusyuz bagi seorang isteri mengingkari suaminya yang bersifat Firaun. Hasiah isteri kepada Firaun dahulupun meletakkan kontrak untuk tidak mahu disentuh oleh suaminya Firaun. Beliau setuju menikahi Fir'aun demi keselamatan ibubapanya sahaja.

Sekalipun begitu, Allah nukilkan Hasiah sebagai sebaik-baik contoh seorang isteri. Bagaimanakah dengan membantah suaminya tetapi dia digelar Allah sebagai isteri terbaik? Itu hanya berlaku jika SUAMI ANDA MACAM FIRAUN. Tetapi sebaliknya, neraka di sebawah-bawah kerak neraka bagi isteri yang mengingkari suaminya yang muslim dan mukmin.

KESIMPULAN

Jangan ingat fizikal Firaun telah mati tetapi semangatnya tidak hidup di kalangan kita semua. Matikan sifat Firaun itu barulah suami layak menerima ketaatan seorang isteri secara TOTAL.

Di RPWP, sebelum mampu memulih dan membina akhlak anak-anak yatim dan asnaf yang rata-rata amat mencabar, murobbi murobbiah harus mampu membina akhlak anak isteri sendiri sebagai anak asnaf sabil. Mereka ini akan menyediakan SIBGHATULLAH, persekitaran acuan Allah yang akan digunakan dalam proses pembentukan akhlak anak-anak yang lain. Untuk itu setiap diri harus mampu tunduk patuh sebagai ubudiah Allah sebelum mampu mempengaruhi yang lain ke arah amar makruf nahi mungkar.

Bagi yang tertanya-tanya rahsia yang menundukkan semua pihak itu ialah, RPWP perbetulkan dahulu para murobbi agar isteri dan anak-anak mereka nampak KEWAJARAN mematuhi mereka. Tiada double standard di RPWP, biar siapa pun mereka.

Ya, memang Allah perintah kita sembelih dan korbankan keegoan wanita sepertimana dilakukan Ibrahim a.s. terhadap isterinya Hajjar. Itu ibarat menyembelih sapi betina QS 2: 67-71. Hajar yang tunduk patuh berjaya dijadikan ikon nisak sehingga anaknya Ismail a.s. juga sanggup disembelih dengan rela. Itulah kisah di sebalik Korban dan Kaabah kiblat kita.

Namun semua itu hanya berlaku hanya setelah Ibrahim a.s. sendiri mengorbankan segala berhalanya, segala pangkat dan harta, segala belang nafsu dan hobi lelaki. Inilah hakikat sembelihan sapi jantan. Jika segala sifat kebinatangan sapi jantan yang hanya layak dijadikan JANTAN SEWAAN ini tidak disembelih, jangan harap kita mampu menyembelih sapi betina dan qibash.

Apabila setiap ahli warga sudah nampak akan amalan kebenaran dan keadilan, maka mudah sahaja semuanya untuk tunduk patuh. Yang susahnya apabila hanya anak dan isteri sahaja yang ditekankan untuk patuh, sedangkan sang murobbi yang bersifat FIR’AUN itu terus menerus berbuat sewenang-wenang tanpa ada siapa yang membantu memperbetulkan salah lakunya.

Alhamdulillah. Inilah kenikmatan hidup berjemaah, bertunjangkan alquran dan sunnah. Semuga bermanfaat.