Kuala Lumpur – Pengedar dadah di negara ini akan bergembira sekiranya Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 dihapuskan seperti saranan kumpulan hak asasi manusia Suaram, kata ketua polis negara.
Dalam beberapa mesej melalui akaun Twitter miliknya @KBAB51, Tan Sri Khalid Abu Bakar juga berkata, pemansuhan akta itu akan membantutkan usaha polis membanteras kegiatan pengedaran dadah.
“Suaram kata Akta Dadah Berbahaya perlu dimansuhkan. Wahhhh seronoklah pengedar2 dadah. Usaha @PDRMsia membanteras dadah akan terbantut!”
Suara dalam satu sidang media yang diadakan pagi tadi menyuarakan cadangan agar Akta Dadah Berbahaya 1985 atau dikenali sebagai DDA 1985 dimansuhkan.
Berdasarkan laporan Agensi Antidadah Kebangsaan, pada 2013, seramai 813 orang telah ditahan di bawah DDA 1985.
Menurut penyelaras SUARAM, Syukri Razak, akta ini telah mencabuli hak asasi manusia dimana individu yang ditangkap di bawah DDA 1985 boleh ditahan tanpa dibicarakan.
“Apa yang lebih penting, individu yang ditahan akan hilang hak untuk mendapat pembelaan yang adil di mahkamah.
“Seksyen 6 DDA 1985 memberi kuasa kepada Menteri untuk mengeluarkan perintah tahanan atau perintah sekatan tanpa perlu orang yang ditahan dibicarakan di mahkamah,” katanya.
Oleh yang demikian, DDA 1985 telah mematikan fungsi mahkamah dan fungsi tersebut telah diambil alih oleh Menteri.
SUARAM juga berpendapat DDA 1985 tidak mengurangkan kesalahan dadah berbahaya di Malaysia.
“Sejak 2008-2013, statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan menunjukkan bilangan yang ditangkap di bawah kesalahan dadah berbahaya terus meningkat,” ulas beliau.
Dalam pada itu, di bawah akta ini, seseorang yang ditangkap boleh ditahan selama 60 hari bagi tujuan siasatan.
“Walaubagaimanapun, bentuk siasatan yang dijalankan oleh pihak polis dalam tempoh ini masih tidak jelas,” katanya.
Bentuk siasatan di bawah DDA 1985 ini juga tidak pernah didedahkan kepada umum.
“Kami berpendapat tidak wujud transparensi dalam siasatan polis sepanjang tempoh siasatan.
“Bentuk siasatan ini menimbulkan kerisauan tentang bagaimana sebenarnya operasi standard pihak polis dalam menjalankan siasatan,” akhiri beliau.
No comments:
Post a Comment