Saturday, 20 September 2014

POLIS KENALPASTI PENGHASUT ISU KELUARKAN SABAH & SARAWAK DARI MALAYSA - YB DATO SERI AHMAD ZAHID HAMIDI


YB Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO Malaysia ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lumut 2014 di Dewan Merdeka, Majlis Perbandaran Manjung (MPM), hari ini berkata. Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenalpasti individu dan kumpulan kecil yang terlibat dalam insiden menghasut rakyat agar membangkitkan isu Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia.

Menurut Menteri Dalam Negeri itu, indivisu berkenaan telah dikenalpasti dan pihak polis akan mengambil tindakan yang sewajarnya.
“Sejak kebelakang ini, beberapa usaha telah dilakukan oleh individu atau kumpulan tertentu yang mahu membawa Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia.
“Saya ingin menyatakan bahawa pihak polis telah dapat mengumpulkan maklumat berkaitan mereka ini dan tindakan akan diambil,” 
Tambahnya lagi, perbuatan tersebut timbul akibat rasa tidak puas hati terhadap pelaksanaan perjanjian penggabungan negeri tersebut dengan Malaysia.
“Tindakan tersebut berkemungkinan berdasarkan kepada ketidakpuashatian pelaksanaan perjanjian 20 perkara yang kita tetapkan semasa pembentukan Malaysia.
“Saya ingin mengingatkan mereka bahawa referendum atau pungutan suara telah dibuat sebelum pembentukan Malaysia dan apa yang telah diputuskan ketika itu telah disahkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” ujarnya.
Ia juga mungkin disebabkan oleh individu tersebut telah bersekongkol dengan pihak-pihak tertentu untuk mewujudkan kesultanan baru yang sememangnya tidak wujud, kata Zahid lagi.
Tambahnya, individu terbabit boleh dikenakan tindakan di bawah akta yang sedia ada.
“Jika ada individu atau pelaku ini terus membangkitkan hal tersebut, polis akan mengambil tindakan berdasarkan maklumat yang diberikan.
“Kita bukan hanya sekadar menggunakan Akta Hasutan 1948 tetapi terdapat juga beberapa akta lagi yang boleh digunakan oleh Peguam Negara untuk melakukan pendakwaan terhadap mereka terutamanya dari aspek penderhakaan terhadap Duli Yang Maha Mulia Di Pertuan Agong,” katanya lagi.
Beliau menasihatkan agar individu tersebut menghentikan perbuatan tersebut bagi mengelakkan perkara itu tidak berlarutan.
“Saya ingin mengingatkan agar mereka menghentikan perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu,” ujarnya.

Post a Comment