Pelakon Fahrin Ahmad dedah ada Wanita dari Terengganu mahu jadikannya menantu. |
Aktor kacak Fahrin Ahmad, 35, mengakui ada hamba Allah berpangkat Mak Cik dari Terengganu ingin menjodohkan beliau dengan anaknya sendiri. Malah saat menceritakannya kembali peristiwa itu, Fahrin sendiri tersenyum manja.
Ia terjadi tahun ini sekitar beberapa bulan lalu. Wanita kampung yang agak berusia itu sanggup meredah perjalanan jauh sehingga ke beberapa negeri untuk berjumpa Fahrin dan meluahkan hasrat untuk bermenantukannya.
“Saya kurang pasti sama ada dia berkenderaan sendiri atau menaiki kenderaan awam semata-mata untuk berjumpa saya. Dia pernah ke Perlis ketika saya terbabit menjadi hos sukan SUKMA.
“Masa itu, lima jam juga dia tunggu saya. Ketika itu dia ditemani adik kepada wanita yang ingin dijodohkan dengan saya. Ketika saya terbabit dengan Jom Heboh di Kelantan pun dia ada. Siap beratur panjang. Ingat nak minta autograf atau bergambar tapi nak tanya saya kahwin ke belum.
“Di Terengganu, masa rakaman program Pencetus Ummah pun dia ada. Saya anggap apa yang cuba dilakukan sebagai doa. Saya hanya mampu tersenyum kerana sedar jodoh itu rahsia Tuhan. Tapi memang mak cik itu bersungguh-sungguh nak jadikan saya menantunya,” kata Fahrin yang bakal muncul dengan drama adaptasi novel terbitan Zeel Production berjudul Maaf Jika Aku Tak Sempurna (MJATS) bermula 2 September ini menerusi slot Akasia TV3.
Tambah Fahrin , beliau cukup terharu dengan tindakan wanita berkenaan biarpun sedar apa yang cuba dilakukannya seakan mustahil.
“Dalam ada yang memandang saya negatif dengan pelbagai tanggapan dek cinta lalu (dengan beberapa artis), ada juga yang berminat menjadikan saya calon menantu mereka. Wanita berusia itu sedikit sebanyak memberi kepercayaan untuk saya meneruskan kehidupan.
“Sejujurnya anak kepada wanita itu ada berinteraksi dengan saya menerusi telefon bimbit. Anaknya sudah ada pilihan sendiri dan tidak mahu ibunya terus-terusan cuba menjodohkannya dengan saya. Saya faham situasi anaknya itu,” katanya.
Jelas sekali di usianya kini, Fahrin sudah cukup layak untuk bergelar suami. Beliau dilihat sebagai lelaki yang sudah mempunyai kestabilan dalam banyak hal termasuk personaliti dan ekonomi. Cuma jodoh dilihat agak jauh dengannya.
“Pada usia sekarang, saya paling gembira dengan apa yang dilalui terutama dua tahun kebelakangan ini. Sejujurnya saya tak rasa tertekan bab jodoh. Mungkin juga usia saya kian matang yang menjadi faktor saya tidak runsing soal jodoh.
Saya sudah ada apa yang diingini, cuma satu saja yang tak lengkap iaitu perihal rumah tangga. Saya sedar soal jodoh itu tetap terus berlegar dalam fikiran bukan saja teman wartawan, tetapi peminat sendiri. Apa yang saya boleh jawab ialah doakan yang baik untuk saya.
“Saya percaya jodoh saya itu ada dan saya sering bersangka baik soal takdir. Ibu saya sendiri setiap kali habis berborak dengannya terutama di corong telefon, ibu selalu doakan saya untuk dipercepatkan jodoh. Pendek kata, kalau minta doa daripada ibu, memang doa bab jodoh yang dimintanya,” kata Fahrin yang lebih selesa mencari pilihannya sendiri untuk dijadikan bakal isteri berbanding pilihan ibu.
Dalam drama MJATS, Fahrin bergandingan dengan Sara Ali buat pertama kali. MJATS terbitan Zeel milik Fadzil Teh diadaptasikan daripada novel nukilan Acik Lana. Drama ini akan menggantikan drama Rindu Aku 200 % di TV3. Turut berlakon ialah Ika Nabella, Amy Mastura dan Hefny Sahad.
Fahrin kini sudah terbabit dalam lakonan selama 13 tahun dan masih menjadi pilihan untuk menjadi hero sekalipun ramai pelapis hero baharu muncul. Tahun ini juga beliau banyak menjadi pengacara program sukan di RTM seperti Liga Malaysia, Piala Dunia, Sukan Komanwel dan SUKMA.
Fahrin juga masih menjadi duta untuk Power Root Ali Cafe dan Shell. Aktor bertubuh sasa itu akan muncul dalam filem Pilot Cafe arahan Osman Ali tak lama lagi.-BERITA HARIAN
No comments:
Post a Comment