ALOR SETAR - Beberapa jalan utama di bandaraya ini dihiasi gegantung ‘Kejohanan Muay Thai Piala Menteri Besar’ yang akan berlangsung September depan, di Stadium Sultan Abdul Halim, namun kewujudan gegantung peserta wanita berpakaian seksi mencuri tumpuan apabila ia menjadi bualan di laman sosial.
Tinjauan Sinar Harian di sekitar bandaraya ini mendapati promosi kejohanan itu sudah bermula sejak awal Ogos, dengan memasang gegantung di jalan-jalan utama.
Promosi menerusi laman Facebook juga dilakukan pihak penganjur, termasuk di laman sosial antarabangsa sukan Muay Thai.
Bagaimanapun, beberapa komen di laman sosial menyatakan rasa kesal berikutan iklan kejohanan sukan dicemari dengan gambar peserta wanita seksi dan dipaparkan pada umum secara terbuka.
Mengulas perkara itu, Timbalan Mufti Kedah, Syeikh Marwazi Dziyauddin berkata, pihak penganjur perlu peka terhadap sensitiviti umat Islam terutama apabila memaparkan wanita dalam kempen promosi secara terbuka.
“Dari aspek pakaian, penganjur perlu peka dengan budaya masyarakat kita di mana pakaian seksi seperti itu sudah pasti tidak dapat diterima masyarakat setempat. Saya sendiri tidak bersetuju dengan pendekatan iklan yang tidak sesuai dengan masyarakat khusus di negara ini,” katanya.
Menurutnya, walaupun sukan itu mempunyai peminat tersendiri dan merupakan acara sukan peringkat antarabangsa dengan menjemput peserta luar negara, namun aspek yang menyentuh sensitiviti umat Islam wajar diberi penekanan.
“Kita bukan halang acara itu, namun perlu adab dan disesuaikan dengan masyarakat setempat. Saya nasihatkan penganjur lebih peka dalam bab aurat dan pakaian wanita, contohnya, tidak salah jika hanya pamer wajah peserta wanita, bukan keseluruhan tubuh dengan pakaian menjolok mata,” katanya.
Syeikh Marwazi berharap, penganjur prihatin dengan kaedah pengiklanan yang digunakan supaya tidak menjejaskan kredibiliti kerajaan negeri selaku tuan rumah kejohanan.
“Dikhuatiri perkara itu jadi buah mulut dan jejaskan nama baik kerajaan negeri, tambahan dikaitkan dengan Piala Menteri Besar,” katanya.
No comments:
Post a Comment