Tuesday, 15 July 2014

KOLABORASI FEDTRI YAHYA DAN FAZLI ZAINAL DALAM HITAM LANGIT SURIA UNTUK SAHAM-SAHAM AKHIRAT


Persahabatan yang terjalin antara penyanyi Fazli Zainal dengan pengacara Malaysia Hari Ini, Ahmad Fedtri Yahya membuka ruang kerjasama kepada mereka melakukan kerja amal. Penyanyi yang popular dengan lagu Harapan itu dengan rela hati merakamkan lagu Hitam Langit Suria ciptaan Sharon Paul dan lirik oleh Fedtri sendiri untuk dijadikan lagu tema program Saham-Saham Akhirat.


Lagu itu dirakamkan Mac lalu. Program yang diacarakan Fedtri itu akan bersiaran di TV3 pada 1 dan 2 Ogos ini, jam 7.30 malam.

Fazli yang ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Hotel Royal Kuala Lumpur berkata, sebagai selebriti, dia memang mengenali Fedtri, namun keakraban mereka bermula apabila dia menyertai program Malaysian Idol dan kerap menjayakan program hari raya bersama TV3.

“Saya anak yatim piatu jadi boleh dikatakan setiap kali malam raya, TV3 mengundang saya untuk menjayakan program Sampaikan Salam atau muncul pada pagi raya di TV3 bersama penyampai stesen termasuk Fedtri. Sejak itu kami rapat dan apabila tiba Ramadan kami akan berbuka dan bertarawih bersama.

“Fedtri warak orangnya dan suka melakukan kerja kebajikan. Justeru, apabila dia menyuarakan hasrat untuk bekerjasama dengan saya untuk programnya itu, saya terus bersetuju kerana kenapa nak fikir panjang sedangkan ia bertujuan baik.

“Tujuan hidup kita di dunia ini sama iaitu mencari keredaan Allah. Maka terhasil lagu Hitam Langit Suria yang menceritakan penderitaan pelarian rakyat Syria dan Palestin di kem terbesar dan paling tua di Jordan iaitu Khemah Al Baka’a. Kem itu sudah berusia 50 tahun,” katanya.

Sementara itu, kata Fedtri, dia melakukan kembara ke khemah pelarian di Jordan seminggu sebelum kedatangan Ramadan dan sempat berpuasa di sana selama empat hari.

“Saya merasai pengalaman berbuka dengan pelarian di kem itu yang mana keadaan mereka amat daif. Dalam keadaan yang sempit kerana dihuni terlalu ramai pelarian ada khemah diduduki 20 orang dengan makanan terhad, kanak-kanak tidak mendapat pendidikan, dihurungi lalat, ada yang kudung tangan dan kaki akibat perang.

“Keadaan hidup yang susah menyebabkan mereka jadi manusia yang agresif ditambah dengan cuaca yang terik. Tiada pekerjaan untuk menyara keluarga dan dengan segala kekurangan itu tiada makanan khusus untuk berbuka. Mereka hanya jamah makanan lama diberikan orang.

“Apabila saya bawakan makanan mereka berebut dan ada yang makan cepat-cepat bimbang saya akan mengambil makanan itu semula. Ada kanak-kanak yang bawa lari air kotak. Wanita yang hamil tidak pernah mendapatkan rawatan doktor dan lebih menyedihkan ada yang bersalin ketika lari dalam perang.

“Kanak-kanak yang kehilangan bapa memeluk saya kerana mungkin rindukan belaian ayah. Tujuan saya merakamkan kehidupan mereka untuk memaparkan realiti kehidupan pelarian dan semoga mendatangkan keinsafan kepada kita semua,” kata-nya.

Kata Fedtri, kem itu sudah dihuni tiga generasi dan mereka dibenarkan mendirikan rumah namun mereka hanya membina rumah ala kadar kerana masih menaruh harapan untuk pulang menetap di tanah air mereka, Palestin dan Syria.

“Ada yang masih menyimpan kunci rumah meskipun sudah berada di kem itu selama 20 tahun,” katanya.

Mengakhiri perbualan, kata Fedtri, dia bekerjasama dengan Fazli kerana penya-nyi itu aktif dalam kerja amal dan dia sendiri hidup bersendirian tanpa ibu bapa lantas segala penderitaan kanak-kanak di sana, dapat dihayatinya dengan mendalam.

Sementara itu, orang ramai boleh menghulurkan sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima Berhad menerusi akaun Maybank 5642-7651-0331.

-Metro

No comments: