Friday 20 June 2014

DOKTOR WARGA EMAS BUNUH ISTERI DIJATUHI HUKUMAN GANTUNG SAMPAI MATI


Seorang doktor dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas dia didapati bersalah membunuh isterinya tujuh tahun lepas.
   


Hakim Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu selepas mendapati Dr Jitweer Singh Ojagar Singh, 60, gagal membangkitkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Asmabi berkata keterangan pembelaan bahawa mangsa, Shento Kaur Jaswant Singh, 46, meninggal dunia akibat 'positional asphyxia' merupakan keterangan yang difikirkan kemudian.
   
Hakim itu berkata teori bahawa simati meninggal dunia disebabkan kekurangan oksigen berikutan kepalanya yang senget pada kedudukan tertentu tidak pernah dibangkitkan di peringkat kes pendakwaan yang berlanjutan selama dua tahun pada 2008.
   
"Saya jatuhi hukuman gantung di leher sehingga mati terhadap kamu. Kamu mempunyai hak untuk merayu. Jika saya terkhilaf, Mahkamah Rayuan boleh meminda keputusan saya. Saya membuat penghakiman ini dengan sebaik-baiknya berdasarkan keterangan yang dikemukakan di hadapan saya," katanya.

Asmabi membuat keputusan itu di akhir kes pembelaan selepas mendengar keterangan enam saksi pembelaan termasuk tertuduh.
   
Dr Jitweer didakwa membunuh Shento, 46, di rumah mereka di Bandar Country Homes, Rawang antara 7 pagi dan 8.10 pagi pada 22 Okt 2007 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
   
Pada mulanya dia dibebaskan oleh mahkamah sama kerana membunuh isterinya pada 30 Ogos 2010.
   
Bagaimanapun, pada 5 Ogos tahun lepas, Mahkamah Persekutuan meminda keputusan pembebasan Dr Jitweer dan memerintahkannya membela diri selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Dr Jitweer di akhir kes pendakwaan, tanpa memanggilnya membela diri.
   
Pendakwaan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap pembebasan Dr Jitweer selepas Mahkamah Rayuan pada September 2011 menolak rayuannya.
   
Dr Jitweer diwakili peguam Sangeet Kaur Deo manakala Timbalan Pendakwa Raya Wan Zuraida Wan Nawan mewakili pendakwaan.
   

-Bernama

No comments: