Monday 19 May 2014

ISMA AKUI MELAYU ADALAH BANGSA PALING TOLERANS DI DUNIA

861670956e08dca792976bf470c61208

Berdepan kritikan susulan melabelkan kaum bukan Melayu sebagai “penceroboh”, NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cuba menunjukkan bagaimana sikap toleransi kaum Melayu berdepan dakwaan “pelanggaran” oleh bangsa lain.

Menyenaraikan sebanyak 15 contoh pelanggaran oleh bangsa lain, Timbalan Presiden ISMA Aminuddin Yahaya turut mempersoalkan mengapa mereka “melompat-lompat seperti katak kepanasan” hanya kerana “satu kalimah”.





Beliau turut berhujah bahawa senarai contoh itu bagi menunjukkan tiada bangsa yang lebih bertoleransi berbanding kaum Melayu.

“Adakah satu kalimah yang hanya sekadar mempertahankan diri boleh dianggap rasis dan menghasut?

“Adakah adil mereka dibiarkan mengguris hati orang Melayu Islam saban malam sedangkan orang Melayu Islam tidak boleh berbuat apa-apa?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Aminuddin tidak menggunakan perkataan “penceroboh”, yang pertama kali digunakan oleh Presidennya Abdullah Zaik Abdul Rahman untuk merujuk kepada bukan Melayu, sebaliknya hanya merujuk perkara itu sebagai “satu kalimah”.

Abdullah Zaik disiasat kerana didakwa menghasut selepas mendakwa kaum Cina di Malaysia sebagai “penceroboh” dan “membuli orang Melayu” serta kaum Melayu perlu memperbetulkan kesalahan sejarah.

Dalam kenyataannya juga, Amunuddin berkata sejarah membuktikan Melayu adalah kaum yang begitu toleran di dunia apabila 980,000 bangsa Cina dan India secara en-bloc diberikan kerakyatan percuma oleh kerajaan.

Beliau juga mendakwa kerajaan ketika itu memberikan mereka 10 ekar tanah secara percuma tetapi beliau tidak mengemukakan bukti berhubung perkara itu.  -  SGB

No comments: