Penyanyi dan komposer yang pernah menempa nama dalam era 80-an, Adam Ahmad, 50, meninggal dunia di Hospital Ampang akibat komplikasi pelbagai penyakit pada 12 tengah malam tadi (semalam).
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Permai, Ampang, di sini pagi tadi.
Isteri Allahyarham, Norliza Ayat, 46, ketika dihubungi Bernama berkata arwah dimasukkan ke hospital sejak 1 Mei kerana tekanan darah rendah dan kencing manis.
"Doktor juga cakap suami saya ada jangkitan paru-paru dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi selama lapan hari sebelum dipindahkan ke wad biasa pada 9 Mei lepas," katanya.
Beliau berkata doktor mengesahkan Allahyarham meninggal dunia kerana kegagalan fungsi jantung.
Adam cukup popular satu ketika dulu dengan lagu 'Kau Pergi Jua'.
Allahyarham pernah memenangi Anugerah Juara Lagu pada 1990 menerusi lagu ciptaannya 'Janji Manismu' dendangan Aishah dan pada 1993 dengan lagu 'Teratai Layu Di Tasik Madu' dendangan Fauziah Latiff.
Mengulas perkembangan karier seni suaminya, Norliza berkata Allahyarham baru selesai mencipta lagu untuk seorang artis Brunei Darussalam dan seorang penyanyi tempatan. - Bernama
No comments:
Post a Comment