Thursday 8 May 2014

ADUN TEJA DESAK KERAJAAN NEGERI PERAK JELASKAN PROJEK MEGA DIPEROLEHI PEMIMPIN UMNO NEGERI


PETALING JAYA – Kerajaan Negeri Perak didesak memberi penjelasan mengenai penganugerahan 31 projek hidro mini bernilai RM2.92 bilion kepada seorang pemimpin Umno negeri itu.


Adun  Teja, Chang Lih Kang mendakwa melalui perjanjian Perak Hydro Renewable Energy Corporation (PHREC), syarikat Pusaka Hijau Sdn Bhd mempunyai pegangan saham sebanyak 60 peratus manakala MB Incorporated pula 40 peratus.

“Wakil Pusaka Hijau dan Pengarah Eksekutif PHREC adalah Datuk Wan Khairil Anuar Wan Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Kangsar yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Kangsar. Ketika projek itu dianugerahkan beliau adalah Adun Bukit Chandan.

“Lebih mengejutkan apabila pada Ogos lalu, pegangan saham Pusaka Hijau dijual kepada Gunung Capital Berhad sebanyak 85 peratus sekali gus menguasai PHREC dan Pengerusi Eksekutif serta CEOnya pula adalah Datuk Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal, Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang,” katanya pada sidang media bersama Adun Simpang Pulai, Tan Kar Hing di ibu perjabat PKR, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut tindakan kerajaan Negeri Perak yang menandatangani perjanjian PHREC untuk membina 31 projek penjana hidro mini yang dianugerahkan kepada syarikat swasta secara kontrak selama 21 tahun.

Berdasarkan kiraan kasar, modal perbelanjaan setiap megawatt projek itu bernilai RM10 juta di mana 25 penjana kuasa hidro berkapasiti 176 megawatt manakala enam lagi berkapasiti 116 megawatt dan jumlah kapasiti penjaaan 31 penjana itu dijangka dalam lingkungan 292 megawatt.

Mengulas lanjut, Lih Kang turut mempersoalkan pemberian projek berbilion ringgit itu kepada seorang pemimpin Umno Perak yang kemudiannya diambil alih oleh pemimpin Umno yang lain.

“Harta negeri seolah-olah harta sesama keluarga Umno dan lebih mengejutkan saya mendapati Datuk Syed Abu Hussin Hafiz banyak kali mendapat projek kerajaan yang lumayan sejak 2008 lagi.

“Kami mengesyaki ini satu modus operandi baru, di mana nama Datuk Syed tidak muncul apabila kontrak dianugerahkan, tetapi akhirnya sampai ke tangan orang yang sama,” dakwanya.

Antara projek yang didakwa dianugerahkan kepada Ketua Umno Bahagian Bukti Gantang itu ialah kontrak perkhidmatan katering ATM bernilai RM1.4 bilion, perkhidmatan peserta PLKN-RM300 juta, klinik mobil 1Malaysia-RM1.17 bilion dan perkhidmatan bas UPM-RM490.4 juta. - Sinar Harian

No comments: