“Terima kasih atas sumbangan dan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak terhadap pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) Perak amnya sepanjang tempoh pentadbiran yang sudah memasuki tahun pertama hari ini,”.
Demikian tegas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada sidang media sejurus temuramah khas ‘Setahun Menerajui Perak Selepas PRU-13′ di PerakFM, dekat Ipoh, malam tadi.
Kerajaan negeri jelasnya, akan tetap meneruskan perancangan yang telah dilaksanakan pada penggal yang lalu.
“Beberapa penilaian semula akan dilakukan bagi menilai pencapaian-pencapaian yang lalu untuk proses penambaikan dalam semua sektor,” katanya.
Jelas Zambry lagi, semua agensi terlibat perlu berfungsi dengan baik untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Dokongan rakyat yang tidak berbelah bagi katanya, akan memastikan Perak mengalami pembangunan pesat dalam tempoh lima tahun akan datang.
Tegasnya lagi, program turun padang dengan slogan “Tiada Tertinggal Tiada Terpinggir” yang dilaksanakan sebelum ini akan tetap dilaksanakan secara berterusan.
“Ianya tidak tertumpu pada tempoh waktu tertentu sahaja kerana ungkapan tersebut merupakan agenda bagi membantu rakyat keluar daripada belenggu kemiskinan dan program turun padang ini akan dilaksanakan secara berterusan,” katanya lagi.
Ujar Zambry, pelbagai kaedah perlu dinilai mengikut waktu semasa supaya lebih inovatif bagi mendampingi semua khalayak.
Tambahnya lagi, pendekatan turun padang juga perlu lebih kreatif untuk menyelesaikan masalah rakyat dan yang paling penting ia tidak lagi hanya fokus kepada peranan Menteri Besar sahaja tetapi turut dibantu oleh barisan exco yang mempunyai peranan yang cukup penting.
Menurutnya, sepanjang tempoh pentadbiran tersebut, beliau mengakui kepimpinan barisan exco telah berupaya menunjukkan prestasi yang cukup memberangsangkan.
“Dalam tempoh masa setahun, kita masih belum boleh memberi penilaian sebenar kerana ia memerlukan masa,” katanya lagi.
Sebelum itu beliau menegaskan, penyebaran spekulasi merupakan asam garam yang perlu dihadapinya apabila menceburi dunia politik.
“Keutamaan saya sekarang ialah untuk melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan dengan sepenuh perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab spekulasi yang tersebar mengenai pengguguran beberapa nama Menteri Besar yang akan dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam masa terdekat ini.
Ujarnya, dunia politik tidak dapat lari daripada pelbagai spekulasi termasuklah yang menyentuh mengenai kedudukan seseorang.
“ Di mana pun kita berada, peranan dan tangungjawab perlu diutamakan dan kembali semula kepada ketentuan Ilahi,” jelasnya.
Tambahnya lagi, setiap amanah perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya samada di peringkat negeri iaitu sebagai Menteri Besar dan juga kepada negara.
Mengulas mengenai pemilihan calon bersesuaian untuk bertanding kerusi Parlimen Teluk Intan, beliau berkata, barisan pucuk pimpinan tertinggi BN akan berbincang bagi menentukan calon yang bakal bertanding kelak.
“Kita akan membuat persiapan dan pemilihan calon yang layak akan ditentukan selepas berbincang dengan pucuk pimpinan tertinggi,” katanya.
Tambahnya lagi, BN akan membuat persiapan rapi bagi meletakkan calon yang bersesuaian untuk mengisi kekosongan kerusi Parlimen Teluk Intan tersebut.
Ahli Parlimen Teluk Intan, Seah Leong Peng, 48, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Petaling Jaya akibat kanser pada kira-kira 7.30 pagi, Khamis lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), Leong Peng menewaskan calon BN, Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas, Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi. PerakToday
No comments:
Post a Comment