Wednesday, 30 April 2014

AWAS !!! PENIPUAN JUAL BELI KENDERAAN TERPAKAI SECARA ONLINE !!

HIASAN

MASYARAKAT kini suka membeli belah secara online kerana ia mudah dan menjimatkan masa dan tenaga. Namun ada pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atas perkembangan teknologi itu dengan melakukan jenayah dan penipuan, tidak kira ia membabitkan peniaga mahupun pembeli.


Seorang mangsa enggan dikenali menceritakan dirinya nyaris ditipu ketika menjalankan urusan perniagaan berhubung penjualan kenderaan melalui online.

“Pembeli berkenaan buat bayaran secara online iaitu melakukan transaksi deposit tunai. Dia kemudian menghantar emel bersama ‘bukti’ bayaran, namun apabila saya menyemak akaun mendapati tiada duit dimasukkan,” katanya.

Lelaki berusia 30an itu berkata, individu berkenaan memberitahu mahu berjumpa dengan alasan akan membayar melalui cek, bagaimanapun mangsa menolak tawaran individu itu kerana berasa curiga terhadap tindakannya.

Kes berkenaan merupakan satu daripada kes pengiklanan penjualan kenderaan melalui laman sesawang yang dipercayai boleh mengundang padah jika penjual kenderaan tidak mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya.

Terkini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti penjenayah yang memperdaya mangsa (penjual kenderaan) dengan tipu helah untuk menguji kenderaan di malam hari yang kemudiannya akan dilarikan. Sasarannya adalah kenderaan terpakai.

Kelicikan penjenayah memperdaya mangsa yang mengiklankan kenderaan dalam laman sesawang menyebabkannya digelar Lone Ranger kerana bergerak secara bersendirian.

Modus operandi

1.     Mangsa yang mengiklankan kereta miliknya dalam laman sesawang akan dihubungi suspek beberapa kali selepas memuat naik gambar kenderaannya dalam laman berkenaan.

2.     Suspek akan mengumpan mangsa untuk bertemunya pada waktu malam sebelum melarikan kenderaan milik individu terbabit.

3.     Suspek akan bertegas untuk bertemu waktu malam sahaja dan meminta izin mangsa kononnya untuk memandu uji kereta berkenaan.

4.     Suspek akan memandu kereta tersebut di sekitar kawasan berkenaan sebelum berpura-pura berpuas hati dengan kenderaan yang hendak dibeli.

5.     Suspek terbabit akan mengeluarkan sekeping cek dan menyerahkannya kepada mangsa sambil mengarahkan mangsa untuk turun daripada kereta bagi menyemak cek berkenaan di kawasan terang.

6.    Suspek mengambil kesempatan melarikan kenderaan itu dengan meninggalkan sebuah kereta miliknya yang dipercayai kenderaan curi.

Nasihat

1.     Semasa berjumpa dengan suspek untuk tujuan jual beli kenderaan, disarankan untuk membawa rakan bersama.

2.     Tidak panik dan kenal pasti wajah suspek seperti (bangsa, pakaian dan jantina).

3.     Lakukan urusan jual beli kenderaan bersama ejen berdaftar dan bukan secara perseorangan.

4.     Pastikan masa urusan ditukar pada waktu siang dan di tempat yang tidak sunyi.

5.     Pastikan kawasan yang diberhentikan kenderaan adalah kawasan yang sama dengan kawasan yang dimulakan. (Disarankan supaya kawasan yang ramai orang atau banyak kenderaan kerana ia akan melambatkan pergerakan suspek untuk melarikan kenderaan)

6.    Memadai memuat naik beberapa bahagian tertentu sahaja seperti gambar bahagian depan, sisi dan belakang kereta dalam pengiklanan jualan kenderaan di laman sesawang.

Laporan kes

2 April 2014

SHAH ALAM – Kelicikan penjenayah yang digelar Lone Ranger kerana bergerak bersendirian tanpa menggunakan sebarang senjata, dipercayai memperdaya seramai lebih 10 mangsa di sekitar Lembah Klang dalam tempoh enam bulan lalu.

Terbaru, dalam kejadian di Seksyen 16, Subang Jaya, di sini, kira-kira jam 10 malam kelmarin, seorang lelaki berusia 32 tahun menjadi mangsa kelicikan suspek yang berjaya melarikan kereta jenis Toyota Camry dianggarkan bernilai lebih RM70,000.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber polis berkata, mangsa yang mengiklankan kereta miliknya dalam sebuah laman web mendakwa dihubungi suspek beberapa kali selepas memuat naik gambar kenderaannya dalam laman berkenaan.

“Suspek kemudian mendakwa mahu membeli kenderaan itu sebelum mengajak mangsa bertemu di sekitar kawasan Seksyen 16, Subang Jaya.

“Lelaki terbabit mendakwa dia hanya boleh berjumpa pada waktu malam antara jam 10 hingga 12 tengah malam.

Biarpun mangsa mahu bertemu pada siang hari, namun suspek bertegas untuk bertemu waktu malam,” katanya.

Sumber itu berkata, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa bersetuju bertemu suspek di kafeteria di kawasan berkenaan.

“Selepas memeriksa dokumen kenderaan itu, suspek kemudian meminta izin mangsa kononnya untuk memandu uji kereta berkenaan,” katanya.

Katanya, mangsa menemani suspek ketika lelaki terbabit memandu uji kenderaan berkenaan.

“Suspek pada mulanya dilaporkan memandu kereta itu sekitar kawasan berkenaan sebelum berpura-pura berpuas hati dengan kenderaan itu.

“Lelaki terbabit mengeluarkan cek RM10,000 sebelum menyerahkannya kepada mangsa,” katanya sambil memberitahu mangsa kemudian diarahkan suspek turun bagi menyemak cek berkenaan di kawasan terang.

Menurutnya, suspek mengambil kesempatan melarikan kenderaan berkenaan dengan meninggalkan Perodua Viva miliknya dipercayai kenderaan curi.

Akta dan hukuman

1.     Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum tujuh tahun dan denda.

2.    Manakala bagi memiliki barang curi adalah mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda.

*Sumber: Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Post a Comment