Tuesday 18 March 2014

#MH370 - TIADA JEJAK DI KORIDOR UTARA, 5 LANDASAN DALAM SIMULATOR DISIASAT



Lapangan terbang di Maldives, Diego Garcia, tiga di India dan Sri Lanka ditemui

Kuala Lumpur : Pasukan penyiasat menemui perisian lima landasan sekitar Lautan Hindi dalam program simulator Kapten Zaharie Ahmad Shah yang diambil dari rumahnya, di Shah Alam pada Sabtu lalu.


Menurut sumber, walaupun terlalu awal untuk membuat rumusan, penyiasatan mengambil kira penemuan itu sebagai satu daripada elemen siasatan berhubung kehilangan pesawat MH370 yang dipandu oleh Zaharie. 

Antara perisian landasan yang diperiksa setakat ini ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Male di Maldives, sebuah lapangan terbang milik Amerika Syarikat (Diego Garcia) serta tiga lagi landasan di India dan Sri Lanka, yang semuanya mempunyai jarak landasan 1,000 meter.” - Berita Harian




Berita terkini pesawat MAS MH370 hilang pada Selasa 18 Mac 2014. Misi pencarian MH370 kini sudah memasuki hari ke-11. Operasi mencari dan menyelamat sudah memasuki fasa baru apabila 26 negara menyertai misi mencari MH370 melibatkan dua koridor iaitu koridor utara dan selatan.


Misi Pencarian Dua Koridor Kini Bermula
Operasi mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sdigerakkan di kedua-dua koridor Utara dan Selatan mulai melibatkan bantuan 26 negara. Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditugaskan mencari pesawat MH370 di kawasan koridor selatan.


Bagaimanapun sekurang-kurangnya empat negara yang terletak di koridor utara operasi mencari dan menyelamat (SAR) MH370 memaklumkan tidak mengesan sebarang jejak pesawat itu melintasi ruang udara negara mereka.

EMPAT negara di koridor utara serta Taliban yang menguasai sempadan Afghnistan-Pakistan turut nafikan kelibat MH370. Grafik Hanafi Nordin
Pihak berkuasa penerbangan awam dan tentera di India, Pakistan, Kazakhstan dan Kyrgyzstan menegaskan, radar awam atau tentera pasti dapat mengesan pergerakan pesawat itu jika benar ia melintasi ruang udara mereka. Malah, pejuang Taliban di sempadan pergunungan Pakistan - Afghanistan turut menafikan kemungkinan MH370 melintasi kawasan mereka.
Malaysia mengumumkan pencarian pesawat penumpang Boeing 777-200ER milik MAS yang hilang pada 8 Mac lalu diperluas ke koridor utara menghala Kazakhstan dan Kyrgyzstan manakala koridor selatan ke Lautan Hindi selepas siasatan mendapati pesawat itu berpatah balik ketika berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Antarabangsa Lumpur (KLIA) Sepang ke Beijing.

Jawatankuasa Penerbangan Awam Kazakhstan mengesahkan tidak mengesan sebarang 'penggunaan tanpa sekatan' di ruang udaranya 8 Mac lalu.
"Walaupun semua sistem di dalam pesawat dimatikan, agak mustahil pesawat dapat terbang tanpa dikesan," kata Timbalan Ketua jawatankuasa itu Serik Mukhtybayev.

Katanya, MH370 berupaya terbang sehingga Kazakhstan tetapi ia akan dikesan sebaik memasuki ruang udara negaranya.

"Pihak tentera mengawasi ruang udara negara ini dan pesawat juga terpaksa merentasi ruang udara beberapa negara lain. Zon penerbangan ini dipantau dengan teliti. Kami pasti akan menerima maklumat daripada negara berkenaan," katanya.

Sementara itu, pihak penerbangan awam Kyrgyzstan juga menolak kemungkinan pesawat itu hilang berhampiran negaranya.

"Pesawat ini tidak terbang di ruang udara Kyrgyzstan. Tentera Udara Russia dan Amerika Syarikat yang berpangkalan di negara ini mempunyai alat radar yang pasti dapat mengesan pesawat ini," kata Timbalan Presiden Lapangan Terbang Awam Manas dekat Bishkek, Dair Tokobayev.

Pegawai penerbangan awam Pakistan, India dan Afghanistan turut menjelaskan mereka tidak tahu lokasi MH370 walaupun telah maklum dengan pencarian pesawat itu telah diperluaskan ke wilayah berkenaan.

"Idea bahawa pesawat terbang di ruang udara India selama beberapa jam tanpa dikesan adalah sesuatu yang tak masuk akal," kata pegawai Kementerian Pertahanan India yang tidak mahu dikenali.

Menurutnya, laporan itu tidak berasas kerana juruterbang terbabit perlu tahu lokasi tepat semua radar dan sistem pemantauan di India jika mahu mengelak daripada dikesan sedangkan pemantauan di ruang udara India amat ketat berikutan krisis sempadan yang dihadapi dengan jirannya Pakistan.

Koridor utara bagi operasi SAR MH370. Grafik Hanafi Nordin

Pegawai tentera India yang mengulas teori MH370 terbang melintasi banjaran Himalaya yang kurang mendapat liputan radar pula menjelaskan, rupa bumi banjaran itu memerlukan kepintaran dan kemahiran juruterbang tentera untuk berbuat demikian.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Pakistan juga memberitahu pihaknya tidak mengesan sebarang keganjilan di ruang angkasanya selepas MH370 dilaporkan hilang.

"Kami telah memeriksa rekod radar kami dalam tempoh berkenaan tetapi gagal menemui sebarang bukti kehadiran pesawat itu,” katanya.

Malah, teori mengatakan MH370 melintasi kawasan pergunungan di sempadan Pakistan - Afghanistan yang menjadi lokasi Taliban berkubu juga ditolak oleh kumpulan pejuang itu.

Jurucakap Taliban di Afghanistan Zabihullah Mujahid berkata, kehilangan pesawat itu tidak ada kena mengena dengan mereka.

"Ia berlaku di luar Afghanistan dan anda sendiri boleh lihat bahawa negara yang memiliki peralatan dan kemudahan canggih sekalipun tidak tahu ke mana perginya pesawat itu. Oleh itu, kami juga tidak ada sebarang maklumat, lagi pun ia urusan negara luar,” katanya. 
- AGENSI(myMetro)

No comments: