PETALING JAYA : Wanita yang mendakwa Misha Omar seorang janda dan pernah bernikah dengan jutawan, memohon maaf jika status berhubung perkara berkenaan dalam Facebook miliknya melukai hati penyanyi itu.
Wanita yang dikenali sebagai Rahana Mohd Dahari itu berkata, dia tidak berniat untuk menjatuhkan maruah Misha sebaliknya hanya berkongsi status perkahwinan Misha di Facebook miliknya apabila mendapat khabar kononnya penyanyi berkenaan pernah berkahwin berdasarkan maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai.
“Saya berasa kesal dan memohon maaf kepada Misha, bakal suami dan keluarganya jika status itu telah mengguris hati dan perasaan mereka.
“Saya sebenarnya bukan menghina status ‘janda’ itu tetapi sekadar mempersoalkan berita tersebut adakah benar wanita yang dikatakan sudah berkahwin sebelum ini adalah Misha Omar, penyanyi yang kita kenali atau sekadar pelanduk dua serupa?
“Jika sumber yang memberitahu saya itu berbohong, maka bohonglah saya,” katanya yang dihubungi Wartawan di sini pada petang Isnin.
Misha dalam surat terbukanya kepada media pada Isnin menepis tuduhan dia seorang janda termasuk fitnah kononnya dia pernah bernikah dengan seorang jutawan berasal dari Kota Baharu, Kelantan.
Penyanyi itu juga bertegas tidak pernah menjadi isteri ketiga jutawan berkenaan seperti mana dakwaan seorang wanita yang disiarkan dalam Facebook pada Ahad.
Pada 4 Februari lalu Misha membuat sidang media mengumumkan majlis pernikahannya dengan seorang juruterbang Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) iaitu Firos Ezzwan Rossly, 32, bakal diadakan pada Mei depan.
Misha atau nama sebenarnya, Samihah Omar, 32, sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 21 Februari ini tetapi terpaksa menangguhkannya bagi menghormati kematian ayahnya, Omar Ismail pada 30 November lalu.
Sementara itu, Rahana berkata, Misha telah membuat kesilapan besar apabila merakam paparan skrin (screen shoot) status itu untuk dimuat naik ke laman sosial Instagram miliknya sehingga menyebabkan isu berkenaan menjadi bertambah besar.
“Seperti yang saya katakan tadi, status saya itu sekadar persoalan dan ia hanya dibaca tidak sampai 20 orang pun kerana saya tidak mempunyai ramai pengikut di Facebook.
“Tetapi apabila Misha mengambil status saya itu dan memuat naik ke Instagram miliknya dengan menafikan apa yang saya tulis, ia terus menjadi isu besar kerana Misha mempunyai lebih daripada 10,000 pengikut. Maka perkara itu terus menjadi isu besar,” ujarnya.
Sehubungan itu Rahana meminta isu berkenaan tidak terus diperkatakan selain meminta orang ramai tidak terpengaruh mengenai statusnya itu.
Malah dia juga berulang kali memohon maaf kepada Misha berkaitan isu tersebut.
Rahana pada Ahad lalu memuat naik status mendakwa Misha Omar pernah berkahwin dengan seorang jutawan di Kelantan dan menjadi isteri ketiga.
Dalam status tersebut Rahana turut mendakwa berita berkenaan disampaikan kepadanya oleh keluarga terdekat lelaki yang dikatakan pernah menjadi suami Misha itu. - mStarOnline
MISHA OMAR telah keluarkan kenyataan... Kerana dakwaan yang berat ini, Misha telah menulis surat terbuka kepada media massa untuk menerangkan kontroversi ini. Berikut ialah tulisan Misha Omar :-
Assalamulaikum pembaca budiman. Saya, Misha Omar meminta maaf andainya surat terbuka ini mengganggu hari kalian. Ada sesuatu yang ingin saya sampaikan buat semua kalian yang budiman. Sebagai anak seni yang telah lebih 12 tahun berkecimpung dalam dunia hiburan, dilempar nista dan dihina atau diserang gosip itu lumrah buat saya. Selalunya, saya menghalalkan semua yang datang kepada saya dengan pemikiran ia peluru permainan padang kerja yang sedang saya lalui.Namun, saya minta maaf kerana kali ini saya tidak dapat bertahan dengan tohmahan yang saya anggap satu fitnah besar buat saya dan keluarga yang datang daripada status Facebook seorang individu wanita hujung minggu lalu.Benar, ini bukan pertama kali isu kononnya saya pernah berkahwin dan menjadi isteri ketiga seorang usahawan ditumbulkan. Malah, ia juga bukan pertama kali saya jelaskan dengan sebaik mungkin bahawa ia hanya satu gosip tidak berasas.Bagaimanapun, pada saat saya baru mengumumkan berita baik tentang niat mendirikan rumah tangga, nampaknya masih ada pihak yang berasa saya sedang menipu umum.Saya menjadi sangat terkesan kerana status tersebut secara terang-terangan memfitnah saya.Demi Allah, entah buat berapa kali perlu saya menafikan hal yang serupa iaitu saya tidak pernah bernikah. Saya tidak pernah menjadi isteri ketiga seorang jutawan. Maka dengan rasmi saya juga tidak pernah memegang status janda!Apa dosa saya apabila saya ingin mendirikan rumah tangga dengan tunangan saya, Firos pada bulan Mei ini, saya dihukum dengan fitnah seperti ini?Puan, anda pasti tersenyum bangga sekarang ini apabila status puan menjadi bualan hangat dan saya berharap agar tercapailah keinginan puan untuk menjatuhkan maruah diri saya dan keluarga saya.Mana mungkin puan tidak pernah terfikir apakah kemungkinan yang akan terjadi kepada saya apabila puan dan rakan-rakan puan dengan sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah terhadap diri saya tanpa mengambil kira tentang kebenaran sesuatu fakta yang puan dengar mahu pun terima daripada sumber-sumber yang puan percayai itu.Dengan ini, saya mencabar pihak puan jika masih mahu mempertahankan apa yang puan dakwa, saya mohon puan kemukakan bukti yang menunjukkan saya ini pernah berkahwin.Jika permintaan ini terlalu berat bagi pihak puan maka puan boleh membawa kedua-dua saksi yang ada ketika saya diijabkabul. Ini kerana wali saya baru saja dijemput Ilahi.Juga, jika sesiapa di luar sana masih meragui status saya, saya juga mahu kalian tampil bersama bukti.Sejujurnya, surat ini dilayangkan bukanlah bertujuan untuk memalukan puan atau sesiapa yang terlibat memberi pandangan tidak bertanggungjawab terhadap fitnah yang disebarkan.Sebaliknya, saya terpanggil untuk mempertahankan hak saya dan rakan-rakan artis yang lain. Masyarakat hari ini dengan mudah melemparkan fitnah terhadap kami. Kemudahan teknologi disalah guna tanpa menyedari pernyataan-pernyataan yang dikeluarkan merosakkan reputasi kerja dan maruah kamiJika hal sebegini terus didiamkan, saya kira maka akan menularlah penyakit fitnah siber dalam kalangan masyarakat kita. Bagaimana kita mahu menanganinya nanti? Sihatkah aktiviti ini untuk generasi yang akan datang? Pernahkah kita terfikir bahawasanya suatu hari nanti anak-anak kita akan terbaca apa yang kita tulis pada hari ini?Hormatkah lagi mereka kepada kita bila mereka mengetahui apa yang pernah kita lakukan? Dan pernah kita terfikir, apakah impaknya kepada anak-anak kita bila rakan-rakan mereka bertanyakan apa yang telah kita tulis atau lakukan?Akhir sekali saya mohon agar kita semua mengambil iktibar daripada kejadian ini. Adakalanya sebelum kita memperkatakan tentang sesuatu perkara berkenaan dengan seseorang individu itu, ada baiknya kita cuba meletakkan diri kita di tempatnya dan apakah impak yang bakal diterimanya nanti.Betul pepatah orang tua-tua, ‘cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar’.Sebelum saya akhiri surat ini, saya ingin tegaskan sekali lagi saya memang belum pernah berkahwin. Juga, ingin saya tegaskan tentang permintaan bukan wang ringgit untuk mas kahwin atau hantaran pada majlis saya nanti, bukan bermakna saya jahil atau membelakangkan adat yang selalunya menggunakan wang ringgit, namun ia lebih kepada menyerahkan seberapa ikhlas bakal keluarga lelaki saya mahu memberi kepada saya.Wallahulam,Misha Omar
No comments:
Post a Comment