Sunday 19 January 2014

SURAT JKKK BUKTI GURU KAFA DITUDUH PENYOKONG PARTI PEMBANGKANG

Adun dakwa temui bukti
Surat didakwa dihantar JKKK Kubang Palas kepada pejabat YIT daerah Marang.

MARANG - Adun Bukit Payung, Mohd Nor Hamzah mendakwa menemui bukti dua guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) dan guru al-Quran dewasa di Kubang Palas, di sini, dipecat kerana dituduh menyokong pembangkang dalam pilihan raya lalu.


Adun dakwa temui bukti

Dakwaan beliau itu selepas merujuk surat 'Memohon Pemberhentian Guru Kafa dan Guru Al Quran Dewasa/Kampung' yang ditandatangani seorang ahli JKKK Kubang Palas kepada Pegawai Yayasan Islam Marang bertarikh 14 Disember 2013.

Menurutnya, surat JKKK Kubang Palas itu jelas menamakan dua guru Kafa dan guru al-Quran dewasa yang menetap di kampung itu untuk diberhentikan perkhidmatan mereka kerana dituduh menyokong parti pembangkang dalam PRU13 lalu.

“Oleh kerana sokongan mereka berdua kepada pembangkang, maka mereka telah digelar sebagai individu yang terlibat dengan aktiviti menentang kerajaan.

“Kemungkinan, surat ini adalah satu daripada surat JKKK kepada pimpinan Umno sehingga berlakunya penamatan kontrak hampir 300 guru Kafa,” katanya.

Kesal dituduh anti kerajaan

Mohd Nor berkata, disebabkan hal tersebut berlaku dalam Dun Bukit Payung, maka beliau yang dilantik sebagai wakil rakyat sah yang dipilih dalam PRU13 lalu berasa bertanggungjawab menjelaskan kepada masyarakat mengenai kedudukannya.

“Saya telah diiktiraf oleh Tuanku Sultan Terengganu dan kerajaan BN Terengganu sebagai wakil rakyat yang sah di sisi undang-undang bagi negeri ini mahupun negara melalui proses demokrasi berparlimen.

“Dengan kerajaan BN, saya telah dijemput untuk mengangkat sumpah sebagai Adun dan saya telah pun dua kali menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu bagi tahun lalu,” katanya.

Sehubungan itu katanya, jika dirinya, parti dan penyokongnya melakukan aktiviti menentang kerajaan sehingga memudaratkan keselamatan serta keharmonian kampung, perkara itu perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa mengenai kesalahan yang dilakukan.

“Buktikannya di bawah peruntukan undang-undang mana, kami dituduh sedemikian. Ini sebab, tidak pernah ada peruntukan undang-undang yang menghalang kakitangan kerajaan menyokong parti yang mereka suka.

“Ini sekali gus membuktikan JKKK terbabit tidak demokratik, cuba mentafsir sendiri undang-undang dan bersikap kaduk naik junjung dengan sewenang-wenangnya cuba menggunakan kuasa dan menuduh penduduk kampung sendiri memecahbelahkan rakyat.

“Malah cuba mempengaruhi pegawai Yayasan Islam Daerah Marang dengan tuduhan palsu,” katanya.

JKKK gagal main peranan

Beliau berkata, JKKK Kubang Palas juga sudah jelas lari daripada peranannya sebagai pihak yang sepatutnya merapatkan persefahaman sesama penduduk, menjaga keselamatan dan keharmonian kampung berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan negeri dapat memilih JKKK yang lebih matang dan sayangkan ilmu agama serta sedar diri.

“Ini penting bagi menjamin keselamatan, kemajuan dan keharmonian sesuatu kampung itu terpelihara,” katanya.

Dalam pada itu, Sinar Harian cuba menghubungi pihak JKKK Kubang Palas menerusi talian disediakan menerusi halaman rasmi penghulu daerah Marang semalam, namun panggilan tidak dijawab. SH

No comments: