Wednesday, 15 January 2014

POLIS AMBIL KETERANGAN 4 INDIVIDU KES SJKC PAKSA GURU ISLAM BUKA TUDUNG

Siasatan berhubung kes seorang guru mualaf di sebuah sekolah  yang diarahkan membuka tudung, di Kota Tinggi, selesai.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman mengesahkan telah mengambil keterangan daripada empat individu berhubung isu tersebut.
Siasatan guru mualaf diarah buka tudung selesai

“Kita tidak rekod percakapan selain ambil keterangan daripada empat individu yang dikaitkan dalam perkara ini.
“Kes ini dilaporkan pada 8 Januari lalu, di mana pengadu (guru) telah membuat laporan polis dan susulan itu, guru besar dan individu yang dikatakan mengarahkan tindakan terbabit serta seorang penduduk telah diambil keterangan.
“Siasatan kes ini telah selesai dan kita telah hantar ke Peguam Negara bagi tindakan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Sementara itu, tindakan mengarahkan guru wanita berusia 25 tahun itu membuka aurat disifatkan menghina agama Islam.
Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut mempersoalkan adakah kualiti pengajaran seseorang guru itu akan terjejas apabila tenaga pengajar ini menutup aurat dengan mengikut syariat Islam sehingga memaksanya membuka tudung.
“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan tindakan  individu tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang dan perlembagaan negara, tetapi ia juga jelas menghina agama Islam dan penganutnya.
“Saya amat kecewa dengan perkara yang berlaku dan  saya mendesak pihak berwajib antaranya Jabatan  Pelajaran negeri untuk mengambil tindakan segera  terhadap pihak bertanggungjawab dan jangan bersikap lepas tangan dalam isu ini,” katanya.
Rabu lalu,  seorang guru mualaf  diarah membuka tudungnya oleh ahli jemaah pengurus sekolah  selain diancam keselamatannya sekiranya guru  tersebut enggan berbuat demikian.
Susulan kejadian itu, penduduk di kampung berkenaan, menggantung beberapa kain rentang dan menampal puluhan poster bagi membantah tindakan tersebut kelmarin. SH

No comments: