Thursday 23 January 2014

LANGGAR PERINTAH KAWASAN LARANGAN - TIAN CHUA DIPENJARA SEBULAN... PRK AKAN DIADAKAN ???


Naib Presiden PKR Tian Chua hari ini dijatuhkan hukuman penjara satu bulan dan denda RM1,000.

Beliau didapati bersalah terhadap pertuduhan melanggar arahan mengikut Perintah Kawasan Larangan, dua tahun lalu.

Beliau yang ditahan semasa perhimpunan BERSIH 4 pada 28 April 2012 didakwa kerana enggan meninggalkan kawasan tahanan.

Hakim Mahkamah Sesyen Mahmud Abdullah membenarkan penggantungan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.

Timbalan pendakwa raya (DPP) membantah dan memohon mahkamah tidak memberikan jaminan.


Menurut undang-undang, anggota Parlimen yang ditahan setahun atau lebih dan didenda RM2,000 atau lebih akan hilang kelayakan dan pilihan raya kecil perlu diadakan.

Perkara 48. Kehilangan kelayakan menjadi ahli Parlimen. 
(1) Tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, seseorang hilang kelayakan untuk menjadi ahli mana-mana satu Majlis Parlimen jika— 
(e) dia telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan (atau, sebelum Hari Malaysia, di wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah atau Sarawak atau di Singapura) dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia tidak mendapat pengampunan bebas; atau 
(4) Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam peruntukan yang terdahulu dalam Perkara ini, jika seseorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen hilang kelayakan untuk terus menjadi ahli Majlis itu menurut perenggan (e) Fasal (1) atau di bawah suatu undang-undang persekutuan yang dibuat menurut Fasal (2)— 
(a) kehilangan kelayakan itu hendaklah mula berkuat kuasa apabila habis tempoh empat belas hari dari tarikh dia— 
(i) disabitkan dan dihukum sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan (e) yang disebut terdahulu; atau 
(ii) disabitkan atas suatu kesalahan atau dibuktikan bersalah atas suatu perbuatan di bawah suatu undang-undang persekutuan yang dibuat menurut Fasal (2); atau 
(b) jika dalam tempoh empat belas hari yang dinyatakan dalam perenggan (a) suatu rayuan atau apa-apa prosiding mahkamah yang lain dibawa berkenaan dengan sabitan atau hukuman itu, atau berkenaan dengan pensabitan atau pembuktian bersalah sedemikian, mengikut mana-mana yang berkenaan, maka kehilangan kelayakan itu hendaklah mula berkuat kuasa apabila habis tempoh empat belas hari dari tarikh rayuan itu atau prosiding mahkamah yang lain itu dibereskan oleh mahkamah; atau 
(c) jika dalam tempoh yang dinyatakan dalam perenggan (a) atau tempoh selepas pemberesan rayuan atau prosiding mahkamah yang lain yang dinyatakan dalam perenggan (b) ada difailkan suatu petisyen bagi pengampunan, maka kehilangan kelayakan itu hendaklah mula berkuat kuasa sebaik sahaja petisyen itu dibereskan.

No comments: