Sunday 12 January 2014

BUKAN MUDAH UNTUK KEMBALIKAN ISA DAN ITU TIDAK MUNGKIN - ZAHID HAMIDI

ISA tidak mungkin diwujudkan semula - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan tidak mungkin mewujudkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).


Sebaliknya kata beliau, kerajaan mungkin meminda akta sedia ada atau menggubal akta baharu yang bersesuaian jika perkara itu dirasakan perlu.

“Apa yang dinyatakan oleh kebanyakan pemimpin-pemimpin termasuk Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) mempunyai elemen-elemen yang boleh diperkirakan tetapi bukan mudah untuk menghidupkan semula ISA,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Rela Malaysia Peringkat Kebangsaan ke-42 di sini hari ini.
   
Beliau juga berkata, andai akta seumpama diadakan, undang-undang itu bukan bertujuan menahan mereka yang berbeza pandangan politik, sebaliknya untuk menjamin keselamatan negara dan ketenteraman awam.
   
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai pertimbangannya dalam meneliti pandangan yang diberi oleh pelbagai pihak berhubung isu itu, katanya.
   
Beliau mengulas saranan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar ISA diwujudkan semula bagi menangani kumpulan ekstremis yang mahu menjejaskan kestabilan negara.
   
Saranan Dr Mahathir turut disokong oleh Khalid.  – Bernama

1 comment:

Anonymous said...

thanks ya infonya !!!

www.bisnistiket.co.id